Label 10

Home » » KALID SAMAD ADALAH PARASIT DALAM PAS ; HASSAN ALI D TUDUH BUDAK UMNO ?!!

KALID SAMAD ADALAH PARASIT DALAM PAS ; HASSAN ALI D TUDUH BUDAK UMNO ?!!

Written By AAKJ on Wednesday, February 1, 2012 | 6:09 AM



SHAH ALAM 31 Jan. - Buat kali pertama, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mendedahkan pemimpin Pas yang selama ini dianggap ‘parasit’ dengan menamakan Timbalan Pesuruhjaya Pas III negeri, Khalid Samad sebagai individu terbabit.

Beliau yang dilucutkan jawatan Exco Hal Ehwal Islam negeri pada 13 Januari lalu mendakwa, Ahli Parlimen Shah Alam itu sering dilihat menyebarkan fahaman yang tidak menyebelahi Islam selain merupakan individu paling lantang menentang usahanya untuk melarang penjualan minuman keras di kedai-kedai runcit di kawasan penempatan majoriti orang Melayu.

Hasan berkata, Khalid juga beria-ia mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika agensi agama itu menyerbu sebuah premis yang dikatakan sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) meskipun pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penganjuran satu majlis yang bermatlamat bagi menyelewengkan akidah umat Islam di negeri ini.

“Saya tidak hairan sekiranya usaha-usaha itu ditentang oleh pemimpin DAP mahu pun pemimpin bukan Islam dalam PKR, tetapi saya sangat hairan apabila ia ditentang hebat oleh Khalid Samad yang bertanding atas tiket Pas.

“Sebab itu saya hendak ingatkan pengundi di Shah Alam agar jangan beri satu undi pun kepada dia (Khalid) pada pilihan raya umum akan datang kerana dia adalah pengkhianat kepada akidah umat Islam,” katanya ketika berucap pada program Bicara Memurnikan Akidah Ummah di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17 di sini malam ini.

Program itu dihadiri lebih 1,000 orang termasuk bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohd. dan bekas Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Datuk Aidit Ghazali.

Hasan berkata, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan untuk mempertahankan Islam, Melayu dan institusi diraja di negara ini.

Kata beliau, pertubuhan yang akan dikenali sebagai Jati itu akan menggabungkan beberapa NGO lain yang turut mempunyai perjuangan sama selain individu yang berminat untuk menyertainya.

“Pertubuhan itu dijangka dilancarkan pada 21 Februari di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan sasaran penyertaan seramai 100,000 keahlian.
“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan jaringan ketiga iaitu sebagai pengimbang kepada parti pemerintah serta parti pembangkang dalam mempertahankan Islam, Melayu dan Raja Melayu (IMR) di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hasan Basri berkata, penyebaran fahaman ‘Anwarism’ kini semakin merbahaya kerana ia jelas bersifat sekular dan liberal yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

“Sebagai contoh, demi untuk kuasa dan mendapat sokongan negara Barat, Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sanggup mengiktiraf sebuah negara haram Israel yang sejak sekian lama melakukan kekejaman terhadap umat Islam di Palestin.

“Selain itu, atas nama hak asasi manusia, Anwar juga bersungguh-sungguh menganggap Seksyen 377B (Kanun Keseksaan) yang melarang seks gay dan lesbian sebagai lapuk serta tidak lagi relevan dan sebab itulah saya kata fahaman ‘Anwarisme’ ini merbahaya kepada umat Islam di negara ini,” tegasnya.

Aidit pula mengingatkan umat Islam di negara ini supaya taksub hanya kepada Allah dan bukannya kepada seseorang pemimpin mahu pun organisasi kerana ia adalah tuntutan Islam.



HASAN Ali berucap pada 'Program Bicara Memurnikan Aqidah Ummah' yang turut dihadiri Hasan Basri Mohd. (kanan) dan Adib Ghazali (dua dari kanan) di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17, Shah Alam, malam semalam. – UTUSAN/Ahmad Fadzly Esa



'Budak suruhan UMNO'

SHAH ALAM 31 Jan. - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad menganggap bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Hasan Ali tidak memahami maksud parasit sebenar apabila secara terang-terangan menamakan beliau sebagai pemimpin Pas yang dianggap 'parasit' dalam parti itu.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor yang pernah digugurkan daripada jawatan itu ketika Pas negeri diterajui oleh Hasan berkata, tuduhan tersebut tidak tepat kerana beliau adalah ahli dan pemimpin Pas yang berada dalam 'batang tubuh' parti sejak sekian lama sedangkan parasit adalah suatu benda asing yang hidup dengan cara menumpang pihak lain.

Sebaliknya kata beliau, pihak yang berada di luar Pas dan hanya boleh hidup dengan menumpang isu membabitkan parti itu sebenarnya adalah parasit.
"Parasit adalah jenis yang tinggal atas induk macam pokok asing tinggal atas pokok besar tetapi saya tidak boleh menjadi parasit kerana saya merupakan sebahagian daripada batang tubuh parti.

"Tidak seperti orang yang hidup dengan isu Pas tetapi dia adalah orang asing yang mana jika tidak ada isu Pas, dia tidak boleh hidup, dia menjadi popular atas isu Pas," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Hasan yang menamakannya sebagai parasit dalam Pas ketika berceramah dalam program Bicara Memurnikan Akidah Ummah di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17 di sini malam semalam.

Hasan dipetik sebagai berkata, Ahli Parlimen Shah Alam itu sering kali dilihat menyebarkan fahaman yang tidak menyebelahi Islam selain merupakan individu paling lantang menentang usahanya untuk melarang penjualan minum keras di kedai-kedai runcit di kawasan penempatan majoriti orang Melayu.

Khalid juga didakwa adalah individu yang beria-ia mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika agensi agama itu menyerbu sebuah premis yang dikatakan sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) meskipun pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penganjuran satu majlis yang bermatlamat bagi menyelewengkan akidah umat Islam di negeri ini.

Khalid yang sudah lebih 30 tahun berada dalam Pas berkata, Hasan sebenarnya sudah menjadi alat UMNO apabila membuat kenyataan supaya para pengundi di Parlimen Shah Alam agar tidak mengundinya lagi pada pilihan raya umum akan datang.

"Kalau tidak beri undi kepada Khalid Samad, kepada siapa lagi? Sudah tentu kepada UMNO. Ini bukti Hasan sudah menjadi budak suruhan UMNO," katanya.
Malah katanya, dakwaan itu jugalah yang menjadi punca mengapa Hasan tidak dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas negeri dan terpaksa dikeluarkan daripada parti meskipun sebenarnya beliau tidak mempunyai harapan dalam UMNO.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, isu penjualan arak yang dibangkitkan oleh Hasan sebenarnya merupakan cadangan anggota Pas Shah Alam sendiri yang merupakan Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBA).

"Ahli kita yang bawa usul supaya kedai-kedai serbaneka yang beroperasi di kawasan majoriti orang Melayu tidak menjual arak. Kita gunakan kaedah lembut, pujuk rayu, adakan penerangan secara 'bil hikmah' dan bukannya buat cara samseng dengan merampas arak berkenaan.

"Bukannya buat dengan sesuka hati kerana ada peraturannya mengikut akta dari Pusat bahawa kedai-kedai seumpama itu tidak perlu memohon lesen khas," katanya.

TQUTUSAN
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger