Tidak dapat tidak, jari jemari saya tetap tidak senang selagi tidak bertanyakan tentang perihal penyelewengan yang dikatakan terjadi kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS), sebagaimana yang saya baca di sebuah laman blog di sini. Memang saya tak puas hati selagi tidak dapat jawapan yang memuaskan hati, terutamanya tentang hal yang bersangkutan dengan umat Islam.
Menurut blog tersebut, bersumberkan dari seorang pegawai pengurus kutipan zakat negeri Selangor, kisah penyelewengan wang zakat Selangor telah menjadi buah mulut di IPTA-IPTA, khususnya oleh golongan yang dipertanggungjawabkan menguruskan kutipan zakat di negeri itu.
Apa yang mengejutkan, meskipun kutipan zakat di negeri maju itu mencatatkan kutipan beratus juta ringgit setahun, masih ramai lagi golongan yang wajar menerima wang zakat tidak mendapat wang tersebut. Lebih mengejutkan lagi, masalah itu dikatakan berpunca dari wang zakat yang tidak mencukupi!
Hai? Takkanlah wang zakat yang tercatit berjumlah RM ratusan juta tapi tak cukup lagi untuk memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan?
Selain itu, memberikan contoh wang zakat yang berjaya dikutip pada tahun 2010 yang berjumlah RM336.80 juta, sumber berkenaan menyatakan akaun LZS masih lagi mencatat defisit lebih RM10 juta! Kemana perginya wang zakat tersebut?
Peliknya, ketua pengurus kutipan zakat di IPTA sumber blog berkenaan mengamuk sakan bila “rahsia” ini terbongkar? Mengeruhkan keadaan lagi apabila diberitahu bahawa banyak syarikat-syarikat besar yang tidak mahu lagi membayar zakat secara terus kepada LZS, dan mengambil inisiatif sendiri memberikan zakat secara terus kepada fakir miskin.
Khabarnya, ada tangan-tangan ghaib dari Kerajaan Negeri Selangor yang menyelewengkan wang zakat berkenaan, betukah begitu? Menurut sumber itu, wang zakat Selangor telah dipohon oleh segelintir pihak yang berkepentingan kononnya mahu membuat “pembangunan agama” dan diberikan kepada fakir miskin di kawasan mereka.
Malangnya, dikatakan hanya segelintir saja yang merasa wang zakat tersebut dan selebihnya digunakan untuk kepentingan peribadi dan menampung kos pergerakan-pergerakan politik mereka, betulkah begitu?
Saya tidaklah mahu menuduh dan penulisan kali ini lebih kepada sifat bertanya tentang hakikat sebenar. Saya memohon kepada mana-mana pihak yang punya saluran untuk menyiasat atau melaporkan segera perkara ini kepada pihak SPRM untuk siasatan lanjut memandangkan disyaki terdapat “kebocoran teruk” pada ratusan juta wang zakat Selangor.
Ini adalah demi kepentingan umat Islam negeri Selangor dan tiada kena mengena dengan soal politik. Ahli UMNO, PAS, PKR mahupun DAP atau apa pun fahaman politik mereka, saya percaya mereka sayang pada Islam selagi mereka beragama Islam. Justeru itu, saya menyeru agar perkara ini diberi perhatian sewajarnya.
TQMYKMU.NET
Post a Comment