KUALA LUMPUR - Sebahagian besar daripada kira-kira 600 peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan harian di Up Town Danau Kota di sini mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula arahan menutup premis mereka selama dua hari setiap minggu.
Rata-rata peniaga membantah arahan penutupan setiap hari Isnin dan Selasa sejak 1 November lalu kerana ia menyebabkan pendapatan mereka terjejas.
Salah seorang peniaga, Shaari Yusof, 46, berkata, tindakan DBKL itu menyekat periuk nasi mereka.
Menurutnya, sekiranya peniaga diminta supaya bercuti ia hanya akan memberi tekanan kerana peniaga terpaksa menanggung beban hutang.
Bagi rakannya, Mohd. Ibrahim Marican, 52, dia hairan dengan tindakan DBKL itu.
"Kami sudah berniaga sejak enam tahun yang lalu dan mengapa baru sekarang buat arahan," soalnya.
Seorang lagi peniaga, Hashim Yunus, 46, pula berkata, arahan DBKL itu dilihat tidak adil.
"Peniaga ada yang membuat pinjaman daripada pihak bank. Sekiranya cuti dua hari, ia beri kesan negatif," jelasnya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia, Mohd. Ridzuan Abdullah pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan DBKL berhubung perkara itu.
TQKOSMO
Post a Comment