Islam menerima golongan khunsa musykil (mempunyai dua jantina), bagaimanapun menolak golongan yang mengamalkan gay dan lesbian yang jelas sekali haram di sisi agama.
Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berkata, golongan khunsa musykil tidak meminta dilahirkan begitu kerana ia merupakan kejadian ALLAH buat mereka.
Justeru, tidak ada halangan untuk mereka memilih jantina mana mereka lebih cenderung selepas tempoh masa tertentu atau boleh dibuktikan secara klinikal.
“Kita akan lihat yang mana lebih berfungsi, dan sekiranya mereka ingin membuang salah satu jantina tersebut, ia adalah dibolehkan untuk tujuan kemudahan.
“Apapun, mereka hendaklah mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, perkara ini amat serius, di mana pembahagian harta pusaka juga diambil kira terhadap golongan, iaitu mengikut yang mana lebih dominan.
Menurutnya dalam mengatasi perkara ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menentukan jantina anak mereka yang mempunyai masalah sebegini.
“Ibu bapa harus memberi penekanan kepada anak mereka. Sekiranya mereka lebih cenderung kepada lelaki, maka lakukan mereka sebagai seorang lelaki. Begitu juga sebaliknya,” katanya.
Namun begitu, Islam melarang sama sekali bagi golongan yang sememangnya dilahirkan sebagai lelaki contohnya, mengubah kejadian tersebut dengan melakukan pembedahan atau berpakaian seperti perempuan di samping menjalinkan hubungan sejenis.
“ALLAH melarang kita mengubah kejadian-Nya seperti terdapat dalam Al-Quran, Surah An-Nisa, ayat 119 menyebut, mereka yang mengubah kejadian ALLAH samalah perbuatannya seperti syaitan. Malah bagi mereka yang melakukan hubungan sejenis, ia sama sekali menyalahi fitrah manusia juga makhluk ALLAH lain,” katanya.
Beliau berkata, orang yang mengubah jantina adalah mereka yang mempunyai iman lemah dan mudah dikawal nafsu dan syaitan.
“Dalam hadis Nabi SAW ada menyebut, orang yang beriman, tidak akan minum arak dan berzina. Hadis ini merupakan contoh terdekat membuktikan dengan adanya iman boleh menegah mereka dari melakukan perkara larangan tersebut,” katanya.
Ketika ditanya mengenai penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 yang dikatakan membincangkan hak asasi manusia untuk semua, termasuklah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Beliau berkata, ibu bapa sekali lagi harus memainkan peranan penting dalam membentuk iman anak mereka. Ibu bapa juga harus menerapkan didikan agama kepada anak mereka sejak kecil.
SH 07/11/2011
Post a Comment