Label 10

Home » » JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT TOLONG JANGAN LENGAHKAN SANGAT KES INI !! TQ BN !!

JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT TOLONG JANGAN LENGAHKAN SANGAT KES INI !! TQ BN !!

Written By AAKJ on Sunday, November 6, 2011 | 9:40 PM

BENGKOK... Hashim menunjukkan kaki anaknya yang turut membengkok selepas patah lebih 20 kali.

MARANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah akan meneliti permohonan baru Nurul Fatihah Hashim, 16, dari Taman Rahmat, di sini, yang mengalami penyakit tulang rapuh untuk mendapatkan sebuah kerusi roda baru.

Patah kaki hampir 50 kali


Pegawai JKM daerah, Noor Hayati Zaman berkata, pihaknya akan meneliti permohonan dan memproses dokumen yang berkaitan, selain meneliti bantuan sewajarnya yang boleh disalurkan kepada remaja berkenaan untuk kemudahannya pada masa depan.

“Kami di JKM daerah bersedia membantu mana-mana individu yang layak dan memenuhi kriteria ditetapkan untuk menerima bantuan kebajikan yang diperuntukkan untuk mereka daripada kerajaan,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya turut menyumbangkan kerusi roda kepada Nurul Fatihah dan permohonan kali ini adalah permohonan baru untuk remaja terbabit mendapatkan sebuah kerusi roda baru.

Noor Hayati berkata, pihaknya sedia maklum masalah keluarga berkenaan yang mempunyai anak Orang Kelainan Upaya (OKU) dan memerlukan perhatian sewajarnya daripada kerajaan.

Katanya, penghuni Taman Rahmat di Pulau Kerengga, di sini, tempat keluarga berkenaan menetap, adalah perkampungan yang diselia JKM.

Difahamkan, Fatihah hanya menerima bantuan RM50 sebulan seperti dua abangnya, Asrul, 23, dan kembarnya, Mohd Syafiq, manakala bapanya, Hashim Omar, 53, memperoleh RM300 sebulan — jumlah yang masih kecil berikutan lima lagi anaknya yang normal masih bersekolah.

Syafiq mewarisi penyakit tulang rapuh daripada Ha- shim, menyebabkan organ kakinya patah tidak kurang 20 kali hanya kerana tersepak tunggul, tersepak kaki sendiri, terhentak, jatuh kerusi roda atau tersilap duduk dan akibatnya betisnya membengkok. Lebih memburukkan keadaan, kulitnya turut sensitif dan luka jika terkena seluar dipakai.

Bagaimanapun, Fatihah mengalami kesan paling teruk apabila kakinya patah hampir 50 kali, menyebabkan kedua-dua kakinya semakin melidi dan membengkok. Dia terpaksa mengengsot untuk bergerak atau berkerusi roda ketika di sekolah.

“Setiap kali patah, kami memerlukan dua hingga tiga bulan untuk kembali pulih dan keadaan itu menyebabkan pembelajaran kami terjejas, biasanya kakak yang sering mengulang kaji pelajaran di rumah, jadi tidak hairan dia mampu menjadi pelajar cemerlang,” katanya.

Syafiq dan Fatihah biasanya menjalani aktiviti bersama, menyebabkan mereka seakan-akan tidak dapat dipisahkan dan ia mungkin kerana perkongsian rahim kira-kira 15 tahun dulu, namun yang membezakan mereka ialah Fatihah kini menjadi semakin pemalu dan kurang keyakinan diri akibat kekurangan dialaminya.

Sebaliknya, Syafiq yang hanya mengalami sindrom itu pada kaki kanan dilihat tetap aktif walaupun pergerakan terbatas kerana masih mampu menggunakan sebelah lagi kakinya untuk bergerak.

Hashim pula berkata, sindrom itu dialami ketika dia berusia belasan tahun dan ia berjangkit pula kepada tiga daripada lapan anaknya.

“Saya bernasib baik kerana kerapuhan tulang saya hanya berlaku dari paras paha ke bawah, menyebabkan organ lain tidak terjejas dan akibatnya doktor menasihatkan kami sekeluarga minum susu khas untuk mengekalkan kekuatan tulang dan bukan untuk menguatkan tulang.

“Dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya tidak mampu membelanjakan setin susu RM50 seminggu tetapi bersyukur dengan apa yang diterima kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya sekeluarga,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga anaknya mengalami sindrom tulang rapuh sejak berusia 18 bulan iaitu ketika mula belajar berjalan, sekali gus menjejaskan pembesaran mereka kerana tidak dapat bergerak aktif berikutan risau cedera terlanggar tunggul kayu atau anak tangga.

“Jika tersilap langkah, mereka terpaksa menanggung akibatnya antara dua hingga tiga bulan sementara menunggu kecederaan pulih semula. Fatihah kini menanggung rasa sakit dan malu yang teramat sangat kerana melalui kesan patah sehingga 50 kali, menyebabkan struktur kakinya semakin pipih seolah-olah akar kayu.

“Akibatnya, dia yang semakin meningkat remaja kini menjadi pemalu dengan kekurangan dirinya dan hanya tuhan dapat memahami perasaan kami sekeluarga kerana penyakit dialami tiada penawar,” katanya.

Akibatnya, empat beranak itu terpaksa menyusun langkah berhati-hati setiap hari supaya tulang tidak patah lagi akibat terlanggar objek, manakala Fatihah menggunakan sebiji bantal bagi memudahkannya mengengsot untuk bergerak dalam rumah.

Ketika di luar rumah, hanya kerusi roda menjadi teman dan Fatihah mula kurang bergaul dengan rakan, mungkin disebabkan kekurangan diri.

Hashim berkata, keluarganya menempuhi kesukaran hidup dengan penuh kesabaran dan saling menjaga antara satu sama lain bagi mengelak ditimpa kemalangan.

“Sebenarnya saya bersyukur dengan keadaan ini kerana ada hikmah di sebaliknya. Ia serba sedikit membuktikan kesetiaan isteri, Nurzaimah Husin, 46, yang tetap bersama-sama menghadapi dugaan ini.

“Pengorbanan isteri dan anak sangat bernilai bagi saya, cukup dengan apa yang mereka tanggung, setiap kali Aidiladha, saya memanjat kesyukuran dengan kesanggupan mereka berkorban keinginan untuk hidup senang seperti orang lain.

“Kadangkala saya hampir putus harapan kerana tidak mampu memberikan kelengkapan atau keperluan mewah kepada mereka.

“Namun apakan daya, dengan kudrat yang tidak seberapa, kami sekeluarga masih dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan bantuan bulanan RM300 daripada JKM,” katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger