SEOUL: Mahkamah Korea Selatan semalam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas seorang anggota tentera Amerika Syarikat atas kesalahan memperkosa seorang remaja secara kejam, kes yang memaksa diplomat Amerika meminta maaf.Anggota berpangkat prebet itu dihukum kerana merogol gadis berusia 18 tahun berulang kali di bandar raya Dongducheon, yang menempatkan pangkalan Divisyen Infantri Ke-2 berhampiran dengan sempadan Korea Utara.
“Ketika tertuduh memuaskan nafsunya dengan cara kejam selama tiga jam, mangsa menderita dalam keadaan ketakutan dan merasai penghinaan. Tertuduh perlu diberi hukuman berat,” kata mahkamah dalam keputusannya yang dipetik agensi berita Yonhap.
Ia berkata, askar berusia 21 tahun itu yang namanya tidak diberikan, memasuki sebuah bilik murah pada 24 September lalu dan merogol, mendera dan mengugut mangsa menggunakan gunting.
Dia kemudian merompak mangsa 5,000 won (RM13) sebelum melarikan diri, kata hakim mahkamah di bandar raya Uijeongbu, utara Seoul.
Itu adalah hukuman paling berat pernah dijatuhkan ke atas anggota tentera Amerika sejak tahun 1993 apabila seorang lagi anggota tentera dipenjara seumur hidup kerana membunuh wanita Korea, lapor agensi berita Yonhap. Namun, hukuman itu kemudian dikurangkan kepada 15 tahun.
Penolong Setiausaha Negara Amerika, Kurt Campbell, yang melawat Korea bulan lalu meminta maaf kepada rakyat negara itu kerana kes rogol yang tragik dan tidak boleh dimaafkan itu.
Tentera Amerika juga meminta maaf dan mengenakan perintah berkurung lewat malam selama sebulan ke atas anggota tenteranya di negara itu.
SUMBER BERITA HARIAN
Post a Comment