GAMBAR HIASAN
GOMBAK: Cemburu melampau menyebabkan seorang suami bertindak ‘gila’ membelasah isterinya yang pulang lewat ke rumah, di Taman Tun Teja, di sini kononnya wanita itu berasmara dengan lelaki lain menyebabkan dia cedera di muka dan kaki, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa yang berusia 42 tahun baru pulang bekerja terkejut apabila dimarahi suami yang tidak tidur kerana menunggu kepulangannya.
Menurut sumber, mangsa yang kepenatan hanya mendiamkan diri dan memberi alasan bekerja lebih masa menyebabkannya pulang lewat.
“Bagaimanapun, alasan diberi mangsa tidak diterima suaminya malah terus menuduh dia mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
“Geram suaminya menuduh tanpa usul periksa menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka selama beberapa minit,” katanya.
Sumber berkata, pertengkaran antara mereka mula bertukar ganas apabila suaminya menampar mangsa.
“Malah, lelaki terbabit turut mengambil beg berisi barang dan terus membaling ke arah mangsa.
“Lelaki itu turut memukul isterinya beberapa kali sambil menghamburkan kata-kata kesat,” katanya, Menurutnya, akibat tidak tahan dipukul, mangsa merayu supaya dilepaskan dan meminta suaminya berhenti bertindak kasar.
“Selepas beberapa minit akhirnya dia berhenti memukul mangsa dan terus keluar dari rumah meninggalkan mangsa dalam kesakitan.
“Difahamkan sudah beberapa bulan lelaki terbabit tidak memberi nafkah kepada mangsa menyebabkan dia terpaksa mencari duit lebih bagi menyara mereka sekeluarga,” katanya.
Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang kemudian membuat laporan di Balai Polis Rawang.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
hm
Post a Comment