SEKURANG-kurangnya 20 wanita Menggatal, Sabah hilang dan gagal dikesan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini!
Norhuda Ahmad, 21, Nurlina Kadir, 19, Ho Mui Moi, 18, Noorazienah Abdul Raja, 25, Masrina Baharum, 21, Masyauri Nahul, Adelin Liaw, 17, Ainah Abdulhan, Dayang Quraiza, Caroline Ayen antara nama yang dilaporkan hilang.
Semua laporan mengenai kehilangan mereka dibuat di Menggatal dan mereka merupakan sebahagian daripada senarai yang kini ada di laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kehilangan wanita Menggatal ini satu lagi realiti wajar membuka mata kita bahawa fenomena orang hilang, terutama wanita boleh berlaku di mana saja. Ia tidak semestinya penyakit masyarakat di kota besar sebaliknya ia boleh berlaku di bandar kecil atau pekan yang kurang dikenali sebelum ini.
Sebahagian mereka dilaporkan hilang pada tahun ini seperti Ainah Antim hilang pada 27 Mei 2011, Masyauri Nahul (24 Mei 2011), Murni Kadir (9 Mei 2011), Ho Mui Moi (31 Mac 2011), Norhuda Ahmad (18 Mei 2011), Masrina Baharum (10 Mei 2011), Necilia Ondu (3 Mei 2011) dan Noorazienah Abdul Raja (18 Januari 2011).
Sementara senarai wanita Menggatal yang dilaporkan hilang pada 2010 pula ialah, Jessyannie Augustine, Suzainee Sigol, Adeline Liaw, Ainah Abdulhan, Wini Merseling, Norin, Noorkartiny dan Nurlina.
Ada juga yang dilaporkan hilang sejak 2008 dan 2009. Berdasarkan laman web PDRM juga, jumlah laporan polis yang dibuat di Menggatal membabitkan wanita hilang lebih tinggi, berbanding jumlah wanita dari bandar lebih besar lain, misalnya Cheras, Segamat, Sungai Petani atau Masjid Tanah.
Menarik untuk diketahui mengenai Menggatal ialah ia cuma sebuah pekan kecil tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini ia menjadi tempat bermastautin banyaknya warga asing dari Filipina dan Indonesia.
Pekan paling dekat ialah Inanam dan Menggatal terletak di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Kota Kinabalu (MBKK). Latar kehidupan masyarakatnya pula dikatakan lebih menjurus kepada kehidupan masyarakat luar bandar.
Ironi kehilangan 'besar' wanita dari Menggatal seperti terkandung dalam laman web PDRM menarik dijadikan perbincangan kerana secara statistik ia unik dan kontras kalau dibandingkan jumlah penduduknya dengan penduduk bandar lain di negara ini. Sekali gus ia harus menjadi satu isyarat agar sebarang kajian pihak berkuasa membabitkan fenomena wanita hilang kini tidak lagi harus tertumpu kepada kes di kota besar atau di pinggir bandar semata-mata.
Gejala wanita hilang berdasarkan kes yang berlaku di Menggatal misalnya, boleh berlaku di mana saja di negara ini. Sebenarnya banyak boleh digarap menerusi fakta kehilangan wanita terbabit.
Adakah kehilangan itu melibatkan pemerdagangan orang atau kehilangan mereka sebenarnya berpunca daripada faktor serupa yang dirumuskan pelbagai pihak sebelum ini - ikut kekasih, mencari kerja, ketidakstabilan keluarga atau mencari kebebasan.
Hakikatnya, Menggatal hanya sebuah bandar kecil yang tentu tidak terdedah sedemikian terbuka kepada budaya moden seperti yang menimpa bandar lain di negara ini. Soalnya kenapa banyak kehilangan wanita dilaporkan di pekan itu seperti terpapar di laman web PDRM?
Kita tidak bermaksud untuk membuat rumusan bahawa wanita dari Menggatal menjadi penyumbang terbesar dalam indeks orang hilang seperti dipaparkan menerusi web itu. Ini kerana realitinya banyak kes orang hilang turut dilaporkan berlaku saban masa di merata tempat di negara kita.
Hal ini bagaimanapun terpaksa dibangkitkan kerana berdasarkan rekod yang ada di laman web itu kehilangan wanita Menggatal ternyata tinggi dan ia tiba-tiba menjadi bahan berita luar biasa serta menarik untuk diberi perhatian berdasarkan kedudukan pekan itu sendiri yang dikatakan belum sepenuhnya tercemar oleh anasir luar.
Tiada siapa tahu di mana sebenarnya wanita yang dilaporkan hilang itu kini berada. Banyak di antara mereka dipercayai daripada kaum Bumiputera.
Misalnya, Murni Kadir yang berasal dari Taman Seri Bayu, salah satu taman perumahan di pekan itu. Kehilangannya direkodkan menerusi laporan polis bernombor 3794/2011 dan tarikh laporan kehilangannya dibuat ialah pada 9 Mei lalu.
Begitu juga Norhuda Ahmad, dilaporkan hilang pada 18 Mei lalu. Masrin Baharum yang dilaporkan hilang pada 10 Mei lalu juga dari Menggatal. Begitu juga Masyauri Nahul, dilaporkan hilang pada 24 Mei 2011 dan Ho Hui Moi yang hilang pada 31 Mac 2011.
Jumlah itu bertambah apabila nama seperti Norin Zainal, Nurlina Kadir, NoorKartiny, Wini Marseiling, Ainah Antim, Nooraziemah Abdul Raja, Julita Sandigo dan Noorlizah Buang turut diambil kira berdasar nama dan gambar mereka turut berada di dalam senarai orang hilang yang dilaporkan di Menggatal.
Umum mengetahui banyak faktor dikenal pasti menjadi penyebab kehilangan wanita atau gadis di negara ini. Misalnya mengikut kekasih, pengaruh kawan, tidak mahu belajar dan mahu mencari kerja.
Faktor persekitaran terutama akibat keruntuhan sistem kekeluargaan dan sikap ibu bapa yang terlalu terbuka memberi kebebasan kepada anak-anak turut memburukkan lagi keadaan.
Namun, realiti mesti diakui ialah kebanyakan kes kehilangan wanita atau remaja perempuan membabitkan Melayu. Secara menyeluruh dalam tempoh lima tahun lalu kes orang hilang dilaporkan sebanyak 25,243 dan daripada jumlah itu hampir 4,000 kes kehilangan dipercayai mengikut kekasih.
Memilukan lagi, daripada jumlah yang mengikut kekasih atau terbuai oleh permainan cinta itu 99 peratus daripadanya membabitkan wanita.
Dalam kes Menggatal ini, tentu menjadi sesuatu yang luar biasa bagi kita apabila di sebuah pekan kecil yang persekitarannya masih tebal dengan kehidupan mirip kampung, boleh mencetuskan satu 'fenomena' apabila banyak laporan wanita hilang berlaku di pekan itu. Ini tentulah mengejutkan kerana perspektif banyak pihak terhadap fenomena wanita hilang sebelum ini sering terhala kepada kes yang berlaku di kawasan penempatan padat.
Kini sudah tiba masanya, semua pihak wajar bimbang apabila meneliti kes kehilangan wanita termasuk kes wanita dari Menggatal ini. Di manakah mereka kini? Apakah faktor menyebabkan kehilangan itu berlaku? Apakah faktor cinta buta menjadi sebahagian daripada angkara? Atau apakah ada di antara kes kehilangan ini berlaku kerana didalangi pihak tertentu yang turut terbabit dalam pemerdagangan orang, misalnya.
Kebimbangan terhadap kemungkinan itu memang ada rasionalnya apatah lagi statistik sebelum ini mendedahkan 71 orang daripada 3,246 yang dilaporkan hilang akhirnya ditemui mati, dipercayai dibunuh.
Persoalan penting kini ialah ke manakah perginya wanita atau gadis pingitan Menggatal seperti Nurlina Kadir, Ho Hui Moi, Nooraziemah, Adelin Liaw, Dayang Quraiza, Caroline Ayen, Necilia Ondu, Norimah Noor Mohd, Ainah Abdul Han, Jessyannie Agustine, Suzainee Sigol dan nama-nama yang disebutkan sebelum ini?
Di manakah mereka berada dan apakah punca kehilangan mereka?
Berdasarkan umur, ada di antara mereka berusia belasan tahun, misalnya Adelin Liaw yang lahir pada 1 JuN 1994, Ho Hui Moi (23 Oktober 1993), Noorlizah Buang (16 Disember 1993) dan Nurlina Kadir (lahir pada tahun 1992). Tidak mustahil pada usia begitu mereka akan terdedah kepada pelbagai ancaman manusia bobrok, berdasarkan usia yang belum matang untuk berdepan tipu helah pihak yang sengaja mengambil kesempatan.
Sejak akhir-akhir ini kes kehilangan wanita menjadi semakin rumit. Kehilangan tidak lagi boleh dikaitkan dengan faktor persekitaran tempat tinggal mereka seperti sebelum ini. Ada kes membabitkan jiwa dan perasaan. Ada kes kerana 'menggatal' dan terpedaya dengan janji manis golongan tidak bertanggungjawab.
Kes kehilangan wanita Menggatal yang agak tinggi sewajarnya membuat kita berfikir untuk mencari jalan agar ada terapi bagi mengatasi masalah kes kehilangan orang terutama wanita yang terus berlaku di negara ini.
SUMBER
Post a Comment