Label 10

Home » » GEJALA SEKS BAWAH UMUR PELAJAR MALAYSIA AMAT KRITIKAL ??

GEJALA SEKS BAWAH UMUR PELAJAR MALAYSIA AMAT KRITIKAL ??

Written By AAKJ on Thursday, October 13, 2011 | 7:11 PM

GAMBAR HIASAN

KITA sering dikejutkan dengan pelbagai berita mengenai pelajar terbabit dengan salah laku sama ada di kawasan sekolah mahupun di luar kawasan sekolah.

Terbaru, kita dikejutkan dengan berita sekumpulan pelajar ponteng kemudian menonton VCD lucah di sebuah rumah di utara semenanjung.

Kejadian seperti ini tentunya bukan sekali dua kerana mungkin banyak lagi kes yang sama tidak dapat dikesan kerana kelicikan pelakunya. Apa pun kerjasama daripada orang ramai sehingga terbongkarnya kes ini patut diberi pujian supaya gejala seperti ini tidak menjadi nanah di kalangan anak-anak muda apatah lagi pelajar di negara kita.

Siapa pun tentu melihat masalah salah laku di kalangan pelajar kian membimbangkan. Pelbagai kes seperti murid melawan guru, pelajar menendang guru, pelajar merosakkan harta benda sekolah, ponteng sekolah, terlibat dengan pergaduhan dan pelbagai lagi sering menghiasi dada akhbar.


Kadang-kadang kita terfikir, apa lagi yang tidak cukup di sekolah sehinggakan pelajar bertindak sesuka hati? Dalam soal pendidikan formal, pelbagai subjek memandu pelajar ke arah nilai-nilai positif dalam menempuh kehidupan seharian untuk suatu jangka waktu panjang.

Umpamanya, mata pelajaran Agama Islam, Pendidikan Moral dan Komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris telah menampilkan nilai-nilai yang menjadi teras dalam kehidupan seharian seperti beradab sopan, menghormati orang lain, menghormati negara dan undang-undang, malah menanam sikap bekerjasama, mementingkan kebersihan dan sebagainya.

Di sekolah juga sudah disediakan aktiviti kokurikulum yang terbahagi kepada beberapa bahagian seperti kelab, sukan dan pakaian seragam. Aktiviti ini jika disertai pelajar dengan komitmen tinggi akan menjinakkan mereka dengan kepelbagaian nilai positif seperti tabah, berani, bertanggungjawab dan berdikari.

Pelajar yang mempunyai kesedaran pentingnya mengikuti sebahagian daripada program di sekolah setidak-tidaknya akan dapat menghindarkan diri mereka daripada sebarang unsur tidak sihat. Kemungkinan mereka terjebak dengan kancah tidak sihat adalah bertolak daripada tiada pengisian dalam jiwa dan kegiatan harian mereka.

Mereka yang tidak berminat dengan pelajaran dan aktiviti kokurikulum di sekolah memudahkan mereka terjebak dengan rakan-rakan tidak baik di luar sekolah. Di sekolah pun, jika ada sekumpulan pelajar yang tidak berminat dengan pelajaran, mereka akan membentuk satu kumpulan yang mantap, berani dan mudah melakukan sebarang kegiatan tidak sihat.

Tidak kira guru mana sekalipun, setiap guru tidak pernah menggalakkan anak didik mereka melibatkan diri dalam aktiviti tidak sihat sama ada di sekolah atau di luar kawasan sekolah. Sebaliknya, guru cuba menanam sikap positif kepada pelajar supaya mereka menjadi insan yang mampu melonjakkan diri dalam pelbagai arena demi memajukan negara.

Tidak cukup dengan itu, sekolah juga mempunyai badan disiplin yang bertindak mengawal tingkah laku pelajar serta menekankan aspek yang perlu dijauhi pelajar sebagai pelengkap sahsiah. Kesan negatif pelanggaran disiplin atau akibat buruk yang bakal diterima jika kesalahan dilakukan di luar sekolah turut ditekankan kepada pelajar supaya imej mereka sebagai pelajar dan nama baik sekolah dijaga.

Tugas guru menjadi semakin rumit dalam usaha mengawal pelajar terutama selepas beberapa peperiksaan berakhir. Contohnya, di sekolah rendah, selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selesai, murid mempunyai masa lama di sekolah sebelum cuti panjang bermula.

Di sekolah menengah, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga berakhir sebulan sebelum cuti panjang. Mereka ini mempunyai masa panjang di sekolah dan mereka tidak akan berbuat apa-apa jika masa mereka tidak diisi oleh guru.

Menurut statistik, kes salah laku pelajar di semua sekolah di seluruh negara pada 2010 ialah 111,484 dan 72,657 daripadanya melibatkan pelajar sekolah menengah dan selebihnya 38,927 murid sekolah rendah. Daripada jumlah itu, 19,545 kes ponteng sekolah dicatatkan sepanjang tempoh berkenaan.

Menurut statistik juga, tiga peratus daripada lima juta pelajar sama ada dari sekolah menengah mahupun rendah di seluruh negara terbabit dengan masalah disiplin pada 2010. Ada yang berpendapat angka ini tidak begitu tinggi kerana 97 peratus daripadanya tidak terlibat langsung dengan sebarang salah laku sepanjang sesi persekolahan tahun tersebut.

Apa pun, guru mesti lebih peka terhadap masalah disiplin terutama ponteng dengan cara berusaha mengikat pelajar supaya berada di sekolah walaupun pelajar sudah selesai menjalani peperiksaan penting. Pelbagai aktiviti bersifat kemasyarakatan boleh disertai pelajar yang bukan hanya di kawasan sekolah tetapi juga di luar.

Pelajar juga boleh dilatih dengan gotong-royong seperti menambah baik keceriaan kawasan sekolah, membina taman dan sebagainya. Pelajar juga mesti ditanam dengan rasa cinta kepada sekolah dengan cara melakukan pelbagai aktiviti yang boleh melonjakkan nama sekolah mereka.

Gejala ponteng berpunca daripada dua sebab. Pertama, pelajar memang tidak berminat untuk ke sekolah dan jika ke sekolah pun, tidak ada apa-apa yang hendak dibuat.

Hal ini membawa kepada gejala ponteng. Sebilangan pelajar merasakan dunia luar lebih seronok dan menjanjikan kepuasan kepada mereka. Bagi ibu bapa yang bekerja, sudah tentu pengawasan terhadap anak yang bersekolah tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana jika anak tidak ke sekolah pun, mereka tidak dapat mengesannya.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat membantu membendung gejala ponteng sekolah. Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela dan pelbagai agensi berkaitan boleh membantu dengan lebih giat untuk membendung gejala ini daripada terus berleluasa.

Masyarakat mesti peka dan bijak menghidu sebarang tingkah laku negatif pelajar di luar kawasan sekolah pada hari persekolahan. Mereka mesti melaporkan aktiviti negatif pelajar sama ada berpakaian sekolah ataupun tidak terutama yang boleh menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan.

Demi menjaga pelajar yang kita harap mampu mencorakkan negara pada masa depan, pelbagai pihak mesti berganding bahu mengekang mereka daripada terlibat dengan sebarang gejala yang merugikan mereka sendiri.

HM
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. AAKJ World - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger