KUALA LUMPUR 17 Okt. - Pihak berkuasa digesa segera mengambil tindakan tegas bagi menyelesaikan satu kes rogol mahasiswa membabitkan seorang pensyarah sebuah universiti tempatan yang sudah tertangguh sejak empat tahun lalu.
Kejadian mengejutkan itu yang didakwa berlaku pada pukul 4.20 petang, 26 Disember 2008 di bilik pensyarah berkenaan, didedahkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin selepas menerima aduan daripada mangsa.
Menurut Zulkifli, selain tiada sebarang tindakan undang-undang, pensyarah yang berstatus profesor dan mengajar bidang kejuruteraan itu juga bebas menikmati kehidupannya, sedangkan mangsa masih trauma sehingga hari ini.
"Saya dimaklumkan pensyarah ini tidak lagi mengajar di universiti tempat mangsa dirogol tetapi dia kini menjadi pensyarah di sebuah universiti milik kerajaan negeri di Selangor. Persoalannya kenapa tiada tindakan ke atas kes ini.
"Mangsa bukan dirogol di luar tetapi di bilik pensyarah itu. Maknanya dalam universiti berkenaan dan sehingga kini dia bebas. Jadi, bagaimana keselamatan para pelajar lain kerana dia masih lagi mengajar," katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.
Lebih menimbulkan persoalan jelas Zulkifli, beliau dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri pegawai penyiasat kes tersebut telah dikenakan tindakan tata terbit atas alasan lambat menyelesaikan kes itu dan bukan suspek kes rogol.
Sedangkan kata beliau, memang telah menjadi prosedur operasi standard (SOP), setiap kes rogol perlu diselesaikan dalam masa yang cepat sebaik sahaja mangsa membuat aduan.
"Saya minta pihak berkuasa jangan pilih bulu hanya kerana suspek adalah seorang pensyarah berstatus profesor. Hakikatnya sudah ada aduan mengenai kejadian rogol tetapi di mana hasil siasatannya?
"Jangan kita perjudikan keselamatan para pelajar lain. Soal sama ada kes ini mempunyai prima facie atau tidak untuk dibawa ke mahkamah itu soal lain, tetapi siasatan terperinci perlu dilaksanakan dan sepanjang tempoh itu suspek perlu digantung tugas," katanya.
UM 18/10/2011
Post a Comment