Noramfaizul mati syahid
KUALA LUMPUR 4 Sept. – Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang terbunuh di Somalia boleh disifatkan sebagai mati syahid kerana Allahyarham terkorban semasa misi membantu meringankan penderitaan dan kesengsaraan rakyat Somalia yang majoritinya beragama Islam.Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sebagai umat Islam, Allahyarham layak diberi pengiktirafan tertinggi itu kerana turut telah membuka mata rakyat negara ini akan penderitaan yang dialami rakyat Somalia.
“Allahyarham yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini serta rakan-rakan media lain ternyata pejuang yang hebat kerana berani untuk membuat liputan di negara yang bergolak seperti Somalia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
– Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, sekarang bukan masa untuk mana-mana pihak menuding jari atau menyalahkan pihak lain berhubung insiden kematian jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor akibat terkena tembakan peluru sesat di Mogadishu, Somalia kelmarin.
Perdana Menteri berkata, apa yang penting sekarang dan perlu dilakukan oleh semua pihak ialah mengambil iktibar selain cuba memastikan insiden sedemikian tidak berulang dalam mana-mana misi kemanusiaan yang disertai Malaysia pada masa depan.
“Langkah keselamatan boleh diambil tetapi tiada jaminan keselamatan sepenuhnya sebaik sahaja berada di kawasan konflik seperti di Libya, Mesir dan Gaza di mana banyak nyawa wartawan telah hilang kerana beroperasi di persekitaran yang ganas.
“Ini kerana terdapat had bagi apa yang telah dilakukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan, jadi jangan saling tuduh menuduh. Perkara paling penting bagi kita adalah untuk mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku.
“Insya-Allah, kita akan cuba sebaik mungkin bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang pada masa depan. Tidak sesiapa boleh memberi jaminan keselamatan. Jika tidak bersedia untuk menanggung risiko, tinggal sahajalah di rumah,” katanya.
Najib berkata demikian kepada pemberita selepas beliau bersama-sama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Noramfaizul di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini hari ini.
Tambah Najib, dalam misi bantuan kemanusiaan di luar negara, isu keselamatan petugas misi bergantung kepada keupayaan anggota keselamatan tempatan di sesebuah kawasan tertentu.
“Jadi, kita tidak boleh mendesak apa yang mereka boleh dan sanggup bekalkan kepada kita. Tetapi kita akan cuba pastikan tahap keselamatan berada di tahap yang terbaik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Najib turut menyatakan bahawa kerajaan akan meneliti laporan lengkap daripada kerajaan peralihan Somalia berhubung insiden kematian Noramfaizul.
“Saya telah menerima panggilan telefon daripada Presiden Kerajaan Peralihan Somalia, Sheikh Sharif Sheikh Ahmed sebaik sahaja kejadian itu berlaku dan beliau menjanjikan laporan lengkap disampaikan kepada saya dalam masa sehari dua ini.
“Saya akan lihat laporan tersebut sebelum membuat rumusan kerana kejadian itu perlu disiasat dengan rapi sebelum kita boleh membuat apa-apa kesimpulan,” ujarnya.
Disambut sebagai wira
- Jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang maut kerana terkena tembakan curi ketika membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia disambut sebagai wira negara di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari iniJenazahnya yang tiba pada pukul 10.05 pagi dengan pesawat C-130 TUDM disambut kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga serta rakan-rakan media yang lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir menyambut ketibaan jenazah Noramfaizul serta kepulangan pasukan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Somalia.
Jenazah Noramfaizul juga diberikan penghormatan tertinggi apabila kerandanya diletakkan dengan bendera Jalur Gemilang sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian serta kesungguhannya menjalankan tugas untuk negara walaupun sedar risiko yang harus dihadapinya.
Jenazah Noramfaizul s elamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia, Serdang, dekat sini, petang ini.
tqutusan
Post a Comment