JAKARTA 21 Ogos - Akhbar Kompas hari ini memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya atas satu laporan yang disiarkan pada 4 Ogos lalu yang berunsur fitnah.
Permohonan maaf itu adalah berkaitan dengan tulisan yang mengaitkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan sebuah syarikat perniagaan, yang telah dinafikan kebenarannya dan juga cincin berlian berharga AS$24 juta, yang sebenarnya tidak pernah dipesan oleh Rosmah.
Permohonan maaf itu juga merujuk kepada laporan tentang bakal besan Perdana Menteri yang dikatakan kononnya mempunyai hubungan dengan mafia Rusia.
"Atas berita tersebut, Pemimpin Redaksi Kompas Rikard Bagun, Sabtu (20 Ogos) di Jakarta, secara khusus menyatakan permintaan maafnya kepada Ketua Kerajaan dan keluarga,” kata Rikard dalam Kompas Minggu, hari ini, Ahad.
Permohonan maaf itu terkandung di perenggan 10, muka surat 10 akhbar tersebut dalam satu laporan bertajuk “PM Najib Razak: Demokrasi Juga Terjadi di Malaysia”, tulisan wartawan kanan Kompas Jimmy S. Harianto.
Harianto yang dihubungi Bernama pada Jumaat lepas berkata, beliau sendiri telah menyampaikan permohonan maaf secara lisan kepada Najib apabila beliau bertemu dengan Perdana Menteri di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada Khamis.
Semasa pertemuan itu Najib telah menyatakan rasa terperanjat dengan laporan Kompas pada 4 Ogos itu.
"Saya terperanjat dengan laporan tersebut. Sebab faktanya, saya tahu itu tidak benar sama sekali,” Najib dipetik akhbar itu dalam tulisan Harianto hari ini.
"Apa lagi hal ini berkaitan nama Ketua Kerajaan negara jiran, yang mana hubungan kita amat penting sekali,” kata Najib.
Pada pertemuan dengan Najib itu, Harianto turut mengadakan wawancara khas dengan Perdana Menteri berkaitan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.
- Bernama
Post a Comment