Usah lupa jasa pejuang
KUALA LUMPUR 29 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat agar tidak sekali-kali melupakan pengorbanan, darah, keringat dan air mata pejuang kemerdekaan negara serta anggota pasukan keselamatan negara dari dahulu hingga sekarang.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang pernyataan dan usaha oleh mana-mana pihak yang ingin mempersenda atau memperlekeh pengorbanan mulia para wirawan dan wirawati negara serta keluarga mereka.
‘‘Kita berasa kesal kerana mereka sebaliknya pula memperagungkan Parti Komunis Malaya yang antituhan, antiagama dan anti nasional,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Aidilfitri yang disiarkan oleh RTM, malam ini.
Perdana Menteri berkata, rakyat perlu memahami bahawa apa yang dinikmati sekarang tidak terjelma dengan sewenang-wenangnya atau kekal lestari jika bahtera keramat kemerdekaan Malaysia tercinta ini terbiar hanyut tidak dikemudi dengan tulus, tidak dihargai dan musnah tanpa dipelihara.
‘‘Bagi memastikan apa yang terlimpah dan tercurah ke atas kita dan bumi Malaysia kekal berkesinambungan, maka perpaduan nasional perlu terus dibajai dan diperkukuhkan.
“Mudah-mudahan jua atas keinsafan ini makin tersepuh dan menebal semangat patriotisme dan kecintaan yang kukuh kepada pertiwi di setiap sanubari kita,’’ katanya.
Najib berkata, bersempena dengan dua sambutan serentak iaitu Aidilfitri dan kemerdekaan ia sewajarnya membawa permaknaan dan pengertian yang mendalam.
Ia kata Perdana Menteri tentang betapa besarnya kurniaan Ilahi kepada Malaysia yang makmur, bebas dari sebarang ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan sama ada keselamatan diri kita mahupun keluarga di samping dapat meraikan hari-hari kebesaran sebegini dalam keadaan kecukupan dan kelimpahan.
TQUTUSAN
Post a Comment