KUALA LUMPUR 16 Ogos – Pas yang sebelum ini beria-ia mahu menjadi orang tengah berhubung kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu masih gagal menyatakan sebarang pendirian rasmi berkenaan hal itu.
Kegagalan itu agak menghairankan kerana Exco Hal-Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali dari Pas sebelum ini menyatakan beliau menyokong tindakan JAIS tersebut atas bukti terdapat cubaan menyebarkan agama bukan Islam ke atas penganut Islam di gereja tersebut.
Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, pendirian rasmi parti itu tidak dapat dibuat kerana pihaknya masih belum berpeluang menemui pihak pengurusan DUMC untuk mendapatkan kepastian berhubung tindakan JAIS berkenaan.
“Sepatutnya hari ini berlaku pertemuan pimpinan Pas dengan pihak DUMC pukul 4 petang ini tetapi semalam saya terima surat dari pihak gereja menyatakan supaya ditangguhkan dahulu pertemuan ini.
“Sebabnya, antara disebut kerana isu ini sudah jadi satu perhatian umum begitu hebat, ditafsirkan macam-macam dan baru ini dalam surat pertama yang dikirim pada kita minta tiada liputan media,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 3 Ogos lalu, JAIS melakukan pemeriksaan ke atas gereja berkenaan selepas menerima maklumat kehadiran orang Islam dalam sebuah majlis yang dianjurkan di situ.
Penganjur dikatakan turut mengedarkan kuiz mengenai agama Islam kepada hadirin dengan 12 soalan yang dikemukakan antaranya ‘apakah maksud perkataan Islam’, ‘apakah maksud perkataan muslim’, ‘apakah maksud perkataan Quran’, ‘apakah 5 rukun Islam’ dan ‘apakah 6 perkara iman muslim’.
Selain Hasan yang menyokong tindakan JAIS, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan at Tantawi turut mendesak pemimpin tertinggi parti itu supaya mengeluarkan pendirian rasmi mereka mengenai apa yang dilihat sebagai cubaan memurtadkan para penganut Islam.
Dalam sidang akhbar itu, Mustafa turut menyatakan Pas masih tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan hal itu kerana selain kegagalan bertemu DUMC, parti itu juga belum bertemu JAIS.
“Kita nak jumpa JAIS dan DUMC untuk kita dapat maklumat versi masing-masing supaya kita boleh buat pertimbangan dan kesimpulan. Jadi, oleh kerana tiada pertemuan maka tiada kesimpulan, dua-dua pihak tidak dapat jumpa,” katanya.
Walaupun Pas belum mengadakan pertemuan rasmi dengan JAIS berkenaan hal itu, Hasan sebagai salah seorang pemimpin parti itu mempunyai pengetahuan luas berhubung operasi JAIS tersebut berdasarkan kedudukannya sebagai ahli Exco Selangor.
TQUTUSAN
Post a Comment