GEORGETOWN 29 Ogos – Parti Cinta Malaysia (PCM) hari ini membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat tuntutan caj rawatan hospital Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP).
Naib Presiden PCM, Huan Cheng Guan berkata, siasatan itu perlu dilakukan oleh SPRM kerana terdapat keraguan dalam tuntutan bayaran kos perubatan yang dilaporkan berjumlah RM8,434.05 sedangkan kos rawatan sebenar di Hospital Pakar KPJ di Selangor itu adalah sebanyak RM5,060.54 sahaja.
Katanya, selain itu, tindakan Mohamad didakwa telah menyalah guna kedudukannya sebagai Anggota Lembaga Pengarah perbadanan itu apabila membuat tuntutan berkenaan.
"Mat Sabu sebagai seorang bekas Ahli Parlimen layak untuk menerima rawatan kelas pertama di wad hospital kerajaan dan beliau telah membazir wang rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan laporan itu kepada SPRM di sini hari ini.
Beliau berkata, PCM berharap SPRM menjalankan siasatan terhadap semua keraguan, kelayakan, cara tuntutan termasuk menyiasat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai Pengerusi PBAPP kerana meluluskan tuntutan itu.
– Bernama
Post a Comment