PBT tiada wang untuk ambil alih Alam Flora
12/07/2011 1:03pm
SHAH ALAM 12 Julai – Kekangan kewangan dan tenaga kerja dikenal pasti sebagai masalah utama yang dihadapi oleh semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dalam mengambil alih kerja-kerja pembersihan awam yang diberikan kepada Alam Flora Sdn. Bhd. (AFSB).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu Thian Kiew berkata, pihak PBT terutamanya Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menghadapi masalah kewangan untuk melaksanakan tugas itu.
"Hal ini dapat dibuktikan apabila MDKS dan MDSB terpaksa menanggung hutang kepada pihak AFSB,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Johan Abdul Aziz (BN-Semenyih) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ronnie Liu berkata, semua PBT memerlukan tenaga kerja yang mencukupi bagi membuat pemantauan terhadap kerja-kerja pembersihan awam yang dilaksanakan agar aduan yang diterima orang ramai diselesaikan dengan segera.
April lepas, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan kerajaan Selangor memutuskan untuk menyerahkan semula pengurusan pembersihan awam kepada sembilan PBT, kecuali pengurusan sisa pepejal yang diberikan kepada Alam Flora.
Beliau berkata, kerajaan negeri berpendapat dua tugas yang dikendalikan Alam Flora, iaitu menguruskan pembersihan di kawasan awam dan pengurusan sisa pepejal, adalah terlalu berat.
Katanya, pembahagian tugas antara Alam Flora dan sembilan PBT itu akan menjimatkan 10 peratus daripada kos pengurusan pembersihan.
Abdul Khalid juga berkata pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menyaman balas Alam Flora yang memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan Selangor itu.
Katanya dalam tindakan berkenaan, Alam Flora telah mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang kerajaan negeri dan PBT daripada meneruskan proses tender bagi kerja-kerja pembersihan awam.
- Bernama
Post a Comment