SHAH ALAM – Seramai 76 saksi dan 192 bukti akan dikemukakan di perbicaraan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Pembunuhan didakwa dilakukan bekas peguam N Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 19, R Matan, 20, dan R Kathavarayan, 30.
Ketua pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof membacakan ucapan pembukaan perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir.
Semua saksi dan bukti adalah untuk buktikan keempat-empat lakukan pembunuhan pada tarikh dan masa seperti dalam pertuduhan.
Mereka didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamarudin Shamsudin (Kamal), 47; peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32; dan pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Norhisham Mohammad, 38.
Ia didakwa dilakukan di ladang Pathmanabhan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, 8.30 ke 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Beberapa saksi polis dan penyelam akan beri keterangan penemuan barang kes.
Antaranya, sebilah pisau berkarat berhulu besi, lapan gelung dawai dan tiga serpihan dawai, serpihan tulang manusia, beberapa keping logam, enam keping zink berkarat dan ada kesan terbakar.
Seorang saksi akan beri keterangan mengenai DNA Noorhisham ditemui pada kayu kriket dan DNA Kamal dan Kamil di atas zink digunakan sebagai alas membakar mayat mangsa.
Dua wanita akan beri keterangan melihat api marak dan tinggi di tempat kejadian.
Beberapa kakitangan pelbagai syarikat telekomunikasi akan beri keterangan mengenai nombor telefon setiap mangsa dan Pathmanabhan.
Menerusi ucapan pembukaan, Pathmanabhan didakwa membeli Ladang Gadong seluas 1.2 hektar daripada pemilik terdahulu bernama Dhanam dengan RM300,000.
Bekas suami Sosilawati, Buhari Mohamed, yang hubungi Pathmanabhan pada hari kejadian itu akan memberi keterangan berkisar urusan jual beli tanah di Pulau Pinang, dan pertanyaan beliau kepada Pathmanabhan sama ada Sosilawati ada menemuinya dan tertuduh mengatakan meminta Sosilawati datang pada 2 September 2010.
Sosilawati ada urusan jual beli tanah di Pulau Pinang diuruskan Pathmanabhan dan menerima dua cek post-dated bernilai RM4 juta daripada tertuduh itu pada September.
Ada perjanjian antara Pathmanabhan dan Sosilawati mengenai pembelian hartanah bagi Lot 332, 407 dan 460 di Pulau Pinang.
Ucapan pembukaan itu menyatakan, Pathmanabhan uruskan pembelian tanah dari Southern Symphony kepada Ample Quality dan RM2.9 juta dibayar sebagai 10 peratus harga pembelian tanah itu, iaitu RM29 juta.
Pathmanabhan ada hubungi seorang lelaki pada kira-kira 7 malam dan meminta maaf sambil mengatakan urusan di Banting belum selesai.
SINARHARIAN
Post a Comment