Sebanyak 20 lokasi strategik di Lembah Klang termasuk di kawasan seluas 3.04 hektar di Presint 11 tersebut dikenal pasti di bawah fasa pertama PR1MA yang menyaksikan 42,000 unit rumah dibina.
Rumah-rumah pada kadar harga diskaun sekitar RM150,000 hingga RM300,000 itu akan dijual pada harga yang sama untuk bumiputera dan bukan bumiputera.
Menurut Perdana Menteri, pemohon rumah PR1MA boleh mendapat pinjaman sehingga 105 peratus untuk menampung kos insurans dan yuran guaman dengan tempoh bayaran sehingga 30 tahun.
Kata beliau, PR1MA ditujukan khusus kepada warganegara yang berpendapatan sederhana dengan gaji bulanan tidak melebihi RM6,000 tanpa mengira mereka bekerja dengan kerajaan, swasta atau bekerja sendiri.
''Saya juga ingin mengumumkan bahawa duti setem akan dikecualikan bagi pembeli rumah di bawah PR1MA.
''Keluasan setiap unit rumah PR1MA adalah antara 800 hingga 1,400 kaki per segi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air. Pembeli boleh memilih untuk menggunakan sebahagian daripada wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau mendapat nilai pinjaman lebih tinggi daripada institusi kewangan untuk beli rumah.
"Pemohon adalah pembeli kali pertama bagi skim PR1MA dan perlu mendiami rumah tersebut, pembeli tidak dibenarkan menjual rumah tersebut dalam tempoh 10 tahun bagi mengelakkan aktiviti spekulasi," katanya ketika berucap melancarkan PR1MA di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Wilayah Persekutuan dan kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Najib berkata, Perbadanan PR1MA yang berperanan untuk merancang dan menyelaras pembinaan PR1MA serta membuat pengagihan rumah akan ditubuhkan selepas satu akta khas mengenainya diluluskan pada sesi Parlimen seterusnya.
''Program PR1MA ini akan dilaksanakan melalui kaedah usahasama awam swasta dan kerajaan bersedia mempertimbangkan bantuan kepada pemaju-pemaju yang terlibat dari segi penyediaan tanah dan dana mudah cara bagi memastikan rumah dapat ditawarkan pada harga yang ditetapkan kerajaan.
''Untuk projek di Presint 11, kerajaan bersetuju memberi dana mudah cara sebanyak RM9 juta kepada Putrajaya Holdings. Saya tegaskan kepada pemaju bahawa rakyat mesti diberi peluang seluas-luasnya untuk membeli rumah.
''Kerajaan juga akan membantu pemaju mendapatkan laluan hijau bagi mempercepatkan kelulusan pemajuan perumahan daripada pihak berkuasa berkenaan," katanya.
Mengenai projek perintis yang dilancarkan di Presint 11 Putrajaya pada hari ini, Perdana Menteri berkata:
"Ia terdiri dari rumah-rumah yang berkeluasan 1,006 kaki persegi dan 815 kaki persegi dan projek perumahan ini dilengkapi dengan dewan serba guna, taska, tadika, surau, lot perniagaan dan kedai."
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Noriyah Ahmad berkata, rakyat yang berminat membeli rumah PR1MA dijangka boleh berdaftar menjelang awal tahun depan selepas Perbadanan PR1MA ditubuhkan.
''Harga jualan adalah sama untuk kumpulan bumiputera dan bukan bumiputera kerana ia dijual pada kadar diskaun.
''Kerajaan masih meneliti mekanisme pelaksanaannya, kita akan melihat pendekatan yang digunakan di negara lain seperti Hong Kong dan Singapura," katanya.
TQUTUSAN
Post a Comment