KUALA LUMPUR 11 Julai – Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan bukan sahaja dilihat menderhaka kepada titah khas Yang Di-pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin malah memperkudakan mereka yang hadir pada perhimpunan haram 9 Julai lalu utuk kepentingan politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Setiausaha Sulit Ketua Umum PKR, Anuar Shaari berkata perkara itu jelas apabila kepimpinan tertinggi pembangkang termasuk Ambiga berada di hotel mewah manakala penunjuk perasaan lain bertungkus lumus bermandi hujan selain semburan “water canon” serta gas pemedih mata pihak berkuasa daripada awal pagi.
Menurut beliau jika mereka pemimpin yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab, Ambiga dan kuncu-kuncunya perlu turun sama awal pagi dan bukannya setelah separuh jalan perhimpunan haram berlaku.
“Ini mungkin mereka akan jawab akan ditangkap polis…Tetapi bagi saya itu bukan alasannya. Bukankah mereka melaung-laungkan pemimpin berani yang sedia berdepan dengan apa sahaja.
“Ini tidak…hanya mengharapkan penyokong mereka mara terlebih dahulu dan kemudian barulah akan turun berdemonstrasi sama. Inikah pemimpin yang diagung-agungkan sebagai “anugerah tuhan“, “ katanya kepada UMNO-Online.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas perhimpunan haram anjuran BERSIH pada Sabtu lalu yang menyaksikan mereka gagal mencapai sasaran untuk mengumpulkan ratusan ribu rakyat untuk berhimpun di Stadium Merdeka.
Bermula awal pagi, penyokong mereka mula berkumpul dan sanggup bermandikan “water canon“ serta gas pemedih mata pihak berkuasa selain dibasahi hujan yang turun pada tengah hari perhimpunan berkenaan.
Namun kelibat Ambiga dan Anwar serta kuncu-kuncunya yang lain hanya kelihatan di KL Sentral dan mereka tidak sempat untuk turut sama setelah dihalang oleh pihak berkuasa.
Anuar Shaari seterusnya menegaskan, apa pun alasan yang diberikan amat jelas kumpulan elit pemimpin pembangkang bersenang lenang di hotel mewah dan sanggup membiarkan anak-anak buah mereka berada di jalanan tanpa hala tuju.
“Kenapa saya katakan tiada hala tuju…Bukankah pihak berkuasa tidak membenarkan mereka berarak ke Stadium Merdeka daripada awal lagi dan ke mana-mana tempat yang lain.
“Di situ sudah jelas demonstrasi jalanan mereka hanyalah bermatlamat untuk menunjukkan kepada dunia luar bahawa Malaysia berada dalam huru hara. Itu sahaja. Yang saya sedih dan kesal, Melayu rela diperalat Ambiga,“ katanya. -MediaUMNO
Post a Comment