Mutiara Goodyear Development Bhd. (Mutiara Goodyear) sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan terhadap pembelian tanah milik Uda Holding Bhd. (UDA) seluas 1.6 hektar di sini pada harga RM215.5 juta.
Pengerusi Eksekutifnya, Hamidon Abdullah berkata, pihaknya menerima surat tawaran pembelian daripada UDA dan telah meletakkan deposit sebanyak 10 peratus daripada nilai tanah tersebut.
Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan projek pembangunan bercampur dengan nilai kasar RM1 bilion di atas tanah tersebut.
Katanya, projek itu yang melibatkan bangunan pejabat dan pangsapuri dijangka dimulakan tahun depan dengan tempoh pembangunan selama lima tahun.
Beliau berkata, kos pembangunan kasar projek pembangunan itu adalah sekitar RM700 juta hingga RM800 juta termasuk harga tanah.
Hamidon menambah, pihaknya telah mempunyai reka bentuk bangunan sejak tahun 2003 yang perlu dipinda berikutan terdapat perubahan urbanisasi dan projek baharu di kawasan itu termasuk pembinaan stesen transit aliran massa (MRT).
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat agung tahunan Mutiara Goodyear di sini baru-baru ini. Turut hadir Pengarah Eksekutifnya, Alex Cheang
Ketika ditanya tentang bantahan penjualan tanah itu kepada Mutiara Goodyear yang dikatakan syarikat bukan bumiputera, Hamidon berkata, urus niaga yang berlaku antara syarikatnya dengan UDA Holdings hanya berkaitan perjanjian komersial.
Katanya,
tiada ada unsur politik atau perkauman dalam urusniaga tersebut.
Malah, Hamidon menjelaskan penyertaan bumiputera dalam syarikatnya juga amat besar.
"Kira-kira
40 hingga 50 peratus pemegang saham Mutiara Goodyear adalah bumiputera. Jadi, tidak timbul isu syarikat kami adalah bukan syarikat Melayu atau tidak,'' katanya.
Sementara itu, Cheang berkata, pihaknya masih mempunyai tempoh tiga bulan lagi untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham syarikat.
Beliau berkata: ''Usaha mendapatkan kelulusan itu adalah prosedur biasa yang perlu dilalui oleh mana-mana syarikat. Kami juga tidak dapat meneka bila Kementerian Kewangan akan memberi kelulusan itu.''
Post a Comment