KOTA BHARU 13 Jun – Kira-kira 300 peniaga Pasar Lama MPKB berkumpul di hadapan Istana Balai Besar di sini hari ini bagi memohon campur tangan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bagi menyelesaikan isu pemindahan mereka ke Bazar Tok Guru yang berlarutan sejak dua tahun lalu.
Perhimpunan yang bermula kira-kira pukul 10 pagi itu diketuai Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Ab. Salim Ahmad.
Mereka kemudiannya berarak ke pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Darulnaim bagi menyampaikan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendesak kerajaan Pas Kelantan menyelesaikan kemelut berkenaan.
Memorandum tersebut diterima oleh pegawai khas Nik Abdul Aziz, Zawawi Muhammad.
Sementara itu, Ab. Salim berkata, mereka mengambil tindakan memohon campur tangan istana kerana dilayan secara tidak adil oleh kerajaan Pas Kelantan dalam isu perpindahan ke Bazar Tok Guru.
Beliau berkata, tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menarik balik deposit di Tenaga Nasional Berhad supaya bekalan elektrik dipotong amat zalim.
‘‘Kami juga tidak berpuas hati kerana proses pengundian bagi menentukan lot niaga di Bazar Tok Guru telah dilakukan mengikut ‘jalan belakang’ yang menguntungkan segelintir pihak.
“Pengundian yang dijanjikan PMBK pada 2 Mei lalu telah dibuat lebih awal pada 30 April bagi memberi kelebihan kepada 58 peniaga kroni. Justeru kami menuntut agar pengundian semula diadakan agar keadilan dapat ditegakkan untuk semua,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam Bernama melaporkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya telah mengarahkan agar pemaju, Syarikat Sensa Timur Sdn. Bhd. dan MPKB-BRI menyambung semula bekalan elektrik yang dipotong Jumaat lalu.
Kelmarin, peniaga terbabit mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan pasar terbabit bagi menyatakan perasaan tidak puas hati mereka dengan tindakan tersebut yang disifatkan sebagai tekanan untuk ‘menghalau’ mereka keluar daripada bangunan itu.
Abdul Salim berkata, pihaknya amat berharap Sultan Muhammad V akan membantu menyelesaikan kemelut yang dilihat seolah-olah tiada penghujungnya.
“Jika tiada sebarang penyelesaian sama ada undian semula lot niaga secara adil dan surat rasmi sehingga 30 Jun ini, kami tidak akan berganjak dan akan kekal di Pasar Lama MPKB walaupun tanpa bekalan elektrik, kami masuk mula-mula dahulu pun berniaga dengan elektrik daripada kuasa bateri sahaja,” katanya.
Para Peniaga Pasar Lama MPKB berkumpul di hadapan Istana Balai Besar sebelum menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu, semalam.
+ comments + 1 comments
Salam. Dah tiba masanya rakyat Kelantan bangkit. Mereka dah lam di tindas oleh Pas. Nik Ajis mengumpul harta, buat kekayaan dgn menipu rakyat. Kepada rakyat Kelantan, bantu Umno dan tolak Pas di PRU ke - 13 nanti.
Post a Comment