Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda simpati yayasan yang dipengerusikannya itu kepada semua mangsa tragedi tersebut.
Jelas beliau, kejadian pada pukul 2.30 petang itu cukup menyayat hati apabila kebanyakan korban merupakan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
''Saya sempat meluangkan masa melawat lokasi kejadian pada pukul 11 malam tadi selepas menghadiri satu acara di ibu negara.
''Di tempat kejadian, saya melihat keadaan mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tersebut.
''Ia cukup menyayat hati,'' katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan golf Patron's Cup 2011 anjuran yayasan itu di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.
Muhyiddin berkata, selain sumbangan itu serta badan kebajikan lain, Kerajaan Pusat sendiri akan memastikan segala keperluan untuk keluarga mangsa dan rumah kebajikan itu diurus secara baik.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, yayasan tersebut akan membina sebuah pusat dialisis yang dijangka beroperasi pada 2012.
''Ia bukanlah sekadar badan kebajikan yang mempunyai nama Muhyiddin Yassin. Kita akan bergerak menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya.
''Selain pusat dialisis, kita berharap akan dapat mengumpul banyak dana untuk mengembangkan bentuk sumbangan dan bantuan lain,'' katanya.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan yayasan sebanyak RM100,000 kepada beberapa pihak yang memerlukan bantuan.
Antara penerimanya pelakon veteran, Karim Latiff, 75, yang menghidap kencing manis serta darah tinggi dan pesakit kanak-kanak, Nur Amira Batrisya Abdullah, 3, yang memerlukan bantuan untuk menjalani pembedahan akibat penyakit jantung yang serius.
TQUTUSAN
Post a Comment