TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat mangsa yang masih tertimbus di dalam runtuhan di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat, kelmarin. - Foto Sairien Nafis
Tengok sendiri mangsa tersepit
“Saya pergi ke tempat kejadian, menyaksikan pasukan penyelamat bekerja dengan keras. Saya nampak empat kaki... ia adalah mayat dua budak lelaki yang terperangkap serta tertimbus dihempap tanah dan dinding konkrit besar. Ia adalah tragedi yang amat menyedihkan”.
Demikian luahan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menceritakan tinjauannya ke tempat kejadian tanah runtuh Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat dekat sini, malam kelmarin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tiba di tempat kejadian jam 11 malam selepas mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, menyaksikan Citrawarna 1Malaysia di Dataran Merdeka di sini.
Walaupun persembahan peserta pada program anjuran Kementerian Pelancongan itu adalah hebat, katanya, beliau terpaksa meninggalkan majlis lebih awal untuk ke tempat kejadian berkenaan.
“Hati saya sudah pun berada di tempat kejadian tragik di Hulu Langat itu,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan Yayasan Tan Sri Muhyiddin (TSM) Charity Golf di sini, semalam.
Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga pengerusi yayasan berkenaan menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Ab Aziz.
Selain itu, yayasan berkenaan turut menyumbangkan RM100,000 lagi kepada penerima lain dari golongan miskin dan berkeperluan, termasuk ibu tunggal, seniman, bekas atlit serta dua kanak-kanak yang perlu menjalani pembedahan pakar, Nur Amira Batrisya Abdullah, tiga, dan Muhammad Hafis Ishak, empat.
Pada majlis sama, Muhyiddin turut memotong pulut kuning kerana diraikan sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-64 pada 15 Mei lalu. Terdahulu, Muhyiddin turut menjayakan pertandingan golf Patron’s Cup 2011 anjuran Yayasan TSM Charity Golf.
Muhyiddin berkata, kerajaan sedang menangani keadaan dan akan memberikan bantuan kepada keluarga mangsa kejadian tanah runtuh itu sebagai sokongan kepada mereka dalam menghadapi tragedi berkenaan.
Ketika melawat tempat kejadian malam kelmarin, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberi bantuan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban.
Selain itu, katanya, kerajaan juga menanggung sepenuhnya kos perubatan mangsa yang cedera dan segala keperluan pengebumian mangsa yang meninggal dunia.
Sambil merakamkan ucapan takziah kepada semua waris mangsa, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong, serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut merakamkan ucapan takziah serta simpati.
Post a Comment