Zaman kegemilangan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) telah berakhir dan penyokong mereka perlu menyedari bahawa parti itu bukan lagi sebuah wadah politik yang boleh dipercayai, kata Naib Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Sylvester Entri Muran hari ini.
Beliau berkata, selepas kalah teruk dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, yang menyaksikan 25 daripada 26 calonnya hilang wang pertaruhan, SNAP perlu berundur daripada politik.
"Ini menunjukkan rakyat kini tidak lagi menyokong SNAP. Bagi saya, SNAP patut tutup kedai saja,” katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai tindakan parti pembangkang itu untuk keluar daripada pakatan bersama DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.
Entri, yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Marudi dalam pilihan raya 16 April lepas, mencatatkan kemenangan besar ke atas Presiden SNAP Edwin Dundang Bugak, calon PKR, Gerang Dagom dan seorang calon bebas, Michael Ding Tuah dengan memperoleh 4,578 undi. Dundang pula hanya meraih 281 undi dan hilang wang pertaruhan.
Dalam tindakan terbarunya, SNAP mengumumkan bahawa parti itu akan meninggalkan pakatan pembangkang selepas merasakan mereka telah diketepikan. — Bernama
Post a Comment