‘Tak sangka Perdana Menteri suka berjenaka’
– Penghidap kanser tulang, Hanif Zolkeflee tidak menyangka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dianggapnya sebagai tegas rupa- rupanya seorang yang suka berjenaka.
Remaja berusia 14 tahun yang mula dijangkiti penyakit tersebut tahun lalu turut menyifatkan Perdana Menteri sebagai seorang yang prihatin dan mengambil berat kebajikan rakyat.
“Saya ingatkan beliau (Perdana Menteri) seorang yang tegas, apabila bercakap dengannya malam ini, beliau seorang yang suka berjenaka dan baik hati.
“Perasaan yang pada mulanya cukup berdebar bertukar gembira apabila mendengar celoteh Perdana Menteri malam ini,” katanya ketika ditemui selepas berbual dengan Perdana Menteri selama kira-kira 10 minit menerusi telefon di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Hulu Selangor di sini malam ini.
Remaja itu ditemani adiknya Hafiz, 10, dan bapa, Zolkeflee Zakaria serta ibu, Salisah Ibrahim, masing-masing berusia 44 tahun. Turut hadir Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan.
Perbualan yang sepatutnya melalui laman Twitter bermula pukul 8 malam, terpaksa dibatalkan akibat gangguan talian menyebabkan Perdana Menteri yang berada di kediamannya di Putrajaya menghubungi Hanif melalui telefon.
Dalam perbualan itu, Hanif sempat bertanya beberapa soalan kepada Perdana Menteri, antaranya mengenai tanggungjawab pelajar dalam menjayakan konsep 1Malaysia.
“Perdana Menteri memberitahu saya, 1Malaysia merupakan konsep yang dicipta untuk mengukuhkan hubungan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Ia perlu difahami oleh semua kerana merupakan proses terbaik ke arah membina negara yang lebih kukuh,” katanya.
Berhubung soalan mengenai makanan kegemaran, kata Hanif, Perdana Menteri memberitahunya beliau suka makan ikan patin masak tempoyak yang popular di Temerloh, Pahang.
Kata remaja itu, kenangan manis bagi Perdana Menteri adalah kemenangan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dan kemenangan setiap kali diadakan pilihan raya.
Hanif dalam pada itu berkata, pemimpin nombor satu negara itu turut berpesan kepadanya supaya kuat semangat dan selalu berdoa kepada Allah.
“Saya berharap dapat bersua muka dengan Perdana Menteri selepas ini, dapat bersalam dengannya pun sudah memadai,” katanya.
Post a Comment