
Pornthip mengaku disiasat kerana masalah disiplin
Pakar patologi Dr. Pornthip Rojanasunand yang pernah memberi keterangan kontroversi berhubung kematian Teoh Beng Hock, mengaku beliau kini disiasat Majlis Perubatan Thailand kerana masalah disiplin.
Pornthip, yang disoal peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah pada prosiding Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh hari ini, turut mengaku beliau adalah aktivis kontroversi di negaranya dan tidak disukai polis.
Peguam yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata prosiding tersebut masih berjalan dan Pornthip didakwa mengadakan bukti sintetik.
Merujuk kes kematian seorang jutawan di Thailand, Muhammad Shafee berkata Pornthip pernah memberi pandangan yang salah berhubung autopsi kedua sehingga adik si mati didakwa membunuh, sedangkan autopsi pertama mendapati mangsa membunuh diri.
Muhammad Shafee berkata Pornthip dan kumpulannya menjalankan autopsi kedua dan menyatakan jutawan itu dibunuh, namun autopsi ketiga yang dijalankan 11 pakar pathologi pelbagai negara mendapati si mati membunuh diri, sama seperti keputusan autopsi pertama. - Bernama
Post a Comment