Wednesday, April 17, 2013

#PRU13 : Belia Cina Ghairah Keluar Mengundi, Belia Melayu Mula Ketinggalan ?


Keghairahan belia Cina mengikuti perkembangan politik tanah air makin meningkat berikutan ledakan teknologi maklumat yang mendedahkan kepada mereka dengan pelbagai isu semasa, kata Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) Tan Sri Pheng Yin Huah.

Lantas, katanya ia pasti mendorong kepada peningkatan keluar mengundi oleh golongan itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei depan.

"Kewujudan laman sosial seperti Facebook dan Twitter memberanikan mereka menyuarakan pendapat antara rakan-rakan serta pemimpin mengenai sesuatu isu," katanya kepada Bernama.

Menurutnya sebelum ini, belia Cina kurang kesedaran untuk keluar mengundi kerana berpendapat mengundi adalah sesuatu yang membuang masa dan tiada kaitan bagi mereka.

"Namun pada masa sekarang belia Cina sama ada yang menuntut ataupun yang bekerja di luar negara sanggup pulang ke kampung halaman walau sejauh mana pun demi menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

"Ini merupakan fenomena positif yang dapat dilihat pada PRU13 dan diharapkan semangat mereka ini akan terus dikekalkan," katanya.

Pheng berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak banyak berinteraksi dengan anak-anak muda melalui akaun laman sosialnya seperti Facebook dan Twitter untuk memahami keperluan dan kehendak mereka.

"Lagi pun sikap 'mesra anak muda' beliau yang mampu mengikuti arus perkembangan itu menjadikan beliau senang didekati oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

Pheng yakin semakin ramai anak muda mulai yakin dengan kerajaan sedia ada berdasarkan pelbagai inisiatif yang diberikan untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

"Contohnya, Najib tahu anak-anak muda sekarang tidak boleh lari daripada 'gadgets' (alat) jadi beliau memperkenalkan Pakej Komunikasi Belia untuk mereka membeli gadget dengan potongan harga RM200.

"Lagi pun, Baucer Buku 1Malaysia (BB1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk isi rumah dan golongan bujang juga banyak membantu meringankan beban rakyat, khususnya kaum Cina," katanya.

Menyentuh tentang aspek pendidikan, Pheng berkata kesediaan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengiktiraf pendidikan Cina adalah amat bermakna kepada masyarakat Cina, kerana menurutnya, ia tidak mungkin diiktiraf di banyak negara selain China.

"Negara kita dikira bertuah kerana masyarakat Cina di sini dapat bertutur dalam bahasa ibunda mereka sendiri meskipun bahasa Melayu dikategorikan sebagai bahasa kebangsaan.

"Ini juga sebahagian daripada perjuangan golongan veteran suatu masa dahulu yang bersemangat memperjuangkan pertuturan bahasa ibunda dalam kalangan masyarakat Cina di negara ini sejak sekian lama," katanya.

Pheng, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sekolah Menengah Persendirian (SMP) Chong Hwa, Kuantan mengakui bahawa untuk membina sebuah sekolah menengah persendirian Cina bukannya mudah dan memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak.

"Masyarakat Cina mementingkan pendidikan, lebih-lebih lagi dalam penguasaan bahasa ibunda. Misalnya, kami mengambil masa hampir 20 tahun lamanya untuk memperjuangkan pembinaan sekolah itu sehinggalah tahun lepas berjaya mendapat surat kelulusan daripada Kementerian Pelajaran.

"Dalam tempoh memperjuangkan pembinaan sekolah itu, peranan yang dimainkan oleh golongan pejuang bahasa ibunda serta kerajaan Barisan Nasional yang prihatin terhadap keperluan masyarakat Cina amat kami hargai," katanya yang mengetuai jawatankuasa itu sejak 13 tahun yang lalu.

Katanya dalam majlis makan malam yang dihadiri Perdana Menteri pada 24 Mac lepas, sebanyak RM5 juta berjaya dikumpul untuk projek pembinaan sekolah tersebut.

Pheng berkata walaupun pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak dinyatakan dalam manifesto BN, namun beliau yakin kerajaan BN mampu melakukannya dan sedang dalam proses untuk memenuhi impian hampir semua masyarakat Cina di negara ini.

"Dalam proses mengiktiraf sijil UEC bukan sesuatu perkara yang boleh dilakukan dalam sekelip mata, namun saya yakin kerajaan pimpinan Perdana Menteri sedang dalam proses menguruskan perkara ini dan percaya berita gembira akan menyusul," katanya.

Kata Pheng, Najib juga merupakan Perdana Menteri pertama yang mengadakan pertemuan dengan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) untuk membincangkan perkara ini membuktikan beliau amat menitikberatkan soal pendidikan yang diperjuangkan oleh masyarakat Cina selama ini.

Katanya kaum Cina harus bersyukur kerana kerajaan memberi kebebasan kepada masyarakat Cina menjalani kehidupan dan budaya serta mengamalkan bahasa ibunda.

"Oleh itu, saya ingin menyeru kepada seluruh belia Cina khususnya, supaya menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan membuat keputusan bijak dalam memilih pemimpin yang tepat pada PRU13 untuk kita terus menikmati kemajuan bersama rakyat Malaysia yang lain," katanya.

1 comment: