Zulkefli: Orang yang tukang tulis nama calon. |
Proses pemilihan calon PAS kali ini nampak kelam kabut dan berkucar 'wak yah' sedikit. Banyak senget dan congik cadungnya. Rasa tidak puas hati timbul di mana-mana sahaja. Setengah ada yang bertindak menutup pos atau mengancam untuk tidak bekerja sekiranya calon-calon pilihan mereka tidak diangkat sebagai calon. Paling menggerikan ada yang membuat pengakuan akan bertindak keluar parti kalau keadaan tidak diubah.
Perkara ini sebenarnya biasa. Kekalutan pemilihan calon ini sudah menjadi lumrah. Setiap kali pilihan raya, situasi ini akan berlaku. Saya berpengalaman mengenai perkara ini sejak tahun 1978 lagi. Ia bukan saja setakat bertegang leher, tetapi ada yang sampai bertumbuk, memaki hamun dan sebagainya kerana tidak berpuas hati dengan calon.
Itu tidak menjadi masalah dan memberi kesan besar kepada parti. Seorang pejuang dan 'pemerhati' yang tulen akan mengangkat bendera juga akhirnya setelah gelora kemarahan sejuk. Namun sebelum panasnya sampai 100 celcius, zarah-zarah dan kumin-kumin air akan panas meloncat-loncat (mendidih) ke atas.
Kenapakah proses pemilihan calon kali ini menjadi kecoh dan berkucar wak yah? Jawabnya tidak ada sebab lain melainkan kerana berlaku unsur-unsur kronisme dan nepotisme di dalam membuat pemilihan dan penyaringan calon. Ia ditambah dengan sikap munafik mereka yang menjadi anggota pemilih calon; cakap depan lain dan cakap belakang lain. Sikap tidak berterus terang kononnya untuk ambil hati tidak betul dalam hal ini dan inilah menyebabkan timbul kekalutan.
Contohnya ada seorang ahli pemilih calon (Timbalan Pesuruhjaya) menjanji akan membuat penilaian adil, berjanji untuk merujuk atau memaklumkan kepada Tokguru, tetapi ia mungkir. Bukan saja maklumat sebenar disembunyikan kepada tokguru, tetapi Tokguru tidak diberitahu langsung. Tokguru hanya dijadikan rubber stamp, cop sahaja tanpa memaklumkan kepadanya. Apakah kerja seperti ini betul mengikut keadan Islam?
Unsur kronisme di dalam hal ini sangat jelas sehinggakan ia tidak boleh ditutup lagi. Unsur kronisme ini menyebabkan PAS menjadi seperti syarikat anak beranak - syarikat sendirian berhad dan bukan syarikat berhad. Maka itu pemilihan calon dibuat di kalangan anak beranak, waris warah dan ipar duai, biras dan besan sahaja.
Sesiapa yang berseorang diri, hatta bekerja kuat didalam parti dan mendapat sokongan dari peringkat kawasan, cawangan akan ditinggal begitu saja bagaikan tunggul kayu kalau ia tidak ada hubungan diplomatik dengan individu yang memilih calon. Kuatlah 'setara mana' mereka tidak akan dipilih dan dia ajak berjemak berkira.
Ini satu budaya dan perangai di dalam PAS. Penyakit atau perangai di zaman Mohd Asri Muda (Allahyarham) nampaknya menjadi turutan dan ikutan. Budaya memilih calon di kalangan kawan-kawan, anak beranak sendiri mula dipraktikan secara jujur di dalam pemilihan kali ini. Apakah dengan berlakunya keadaan maka ia membungakan kekalahan untuk PAS?
Sebenarnya bagi ahli PAS mereka tidak ada masalah kalau 'waris warah' yang akan mewarisi takhta itu asalkan berkelayakan dan dilakukan secara adil. Tetapi pemberian peluang menjadi calon itu biarlah adil, tidak pilih kasih atau pun membelakang prosedur biasa. Keharmonian di dalam PAS selama ini ialah kerana tidak ada unsur jahat dan khianat. Ketelusan dan keikhlasan itulah menjadi teras dan spritual kepada PAS.
PAS parti Islam sewajarnya menegakkan prinsip keadilan dan kesamarataan. Sisi inilah yang membezakan PAS dengan Umno. Dalam pemilihan calon dan apa-apa juga aspek keadaan atau pendekatan secara Islam biarlah jujur dan bersih sesuai dengan pengakuan dan syahadat kita terhadap perjuangan yang berpaksikan kepada perinsip Islam.
Perkara ini disebut kerana perkara ini jelas. Ada calon-calon yang dipilih tidak pun berada dalam barisan nama yang dicadangkan oleh PAS cawangan, kawasan seperti mana ditetapkan dan menjadi amalan biasa. Tetapi kerana mereka adalah kroni kepada orang tertentu, tepatnya kepada ahli Dewan Harian PAS yang terdiri dari Pesuruhjaya, Timbalan Persuruhjaya I dan II, Setiausaha Badan Perhubungan maka dia diambil dan dinilai.
Waris dan sahabat handai, ipar duai, biras mereka dibasuh dan dimake-up sebaik mungkin. Dipersembakan kepada Tokguru Nik Aziz sebagai barang persembahan yang indah. Puak-puak inilah penipu Tokguru sebenarnya bukan Umno Barisan Nasional. Merekalah yang menjadi ulat yang memakan PAS dari dalam dengan bersela lendik dan berkopiah putih.
Saya akan senaraikan macam mana calon-calon yang dipilih kali ini ada hubungan relatif dengan individu-indivdu yang disebut di atas tadi. Ada orang yang menjadi pemegang 'jabel' pitis kepada ahli Dewan Harian dipilih menjadi calon, bukan kerana orang itu berwibawa, tetapi kerana hanya menjadi pemegang jabel duit. Al maklumlah saat pilihan raya ia memerlukan duit banyak. Menjadi proxy dalam pemberian kawasan balak, getah klun dan biji besi. Perlu ditegaskan anggota Dewan Harian Dr Mohd Fadzli Hassan iaini Ketua Penerangan tidak diajak berunding langsung dalam soal pemilihan calon ini. Kenapa?
Betulkah cara ini? Memang pemimpin PAS senantiasa memberi ingatan dan pesan, di dalam PAS jawatan tidak boleh diminta. Jawatan bukan matlamat. Tetapi soalnya apakah prinsip itu diguna pakai dengan seadil-adilnya dan menyeluruh? Apakah ia terkena kepada mereka di bawah yang tidak ada god father atau taukeh, manakala yang mereka ada taukeh akan berlaku? Mereka yang rapat dan pernah makan di restoran-restoran lima bintang dengan anggota Dewan Harian diutamakan. Mereka yang melancung ke Marocco, Mesir bersama akan diambil menjadi calon?
Tidak perlu saya menyebut nama-nama bakal calon yang akan diumumkan malam ini yang tidak layak dan sepatutnya diambil menjadi calon kerana beberapa kelemahan. Saya akan bercerita selepas ini macam mana orang tidak dikenali dan diterima oleh kawasan tetapi diambil menjadi calon kerana hanya orang itu pernah berjumpa dengan individu tertentu dan menolong individu tertentu dalam sesuatu urusan kependidikan. Kerana itu saja maka dia diambil menjadi calon. Ditinggalkan nama-nama lain yang selama ini berkorban dengan parti atas alasan kerana ia kroni Yang diPertua Kawasan. Anihnya kenapa kalau orang tidak boleh tetapi kita dibolehkan. Inilah jenis munafik.
Perkara ini selalu terjadi. Suka saya merujuk kepada apa yang berlaku di Tendong dalam pilihan raya umum ke-12 lalu. Hamid Abdul Aziz yang dilantik menjadi penyelia, bekerja keras untuk parti, siang dan malam akhirnya dinafikan begitu sahaja. Arwah Muhamad Daud diambil menjadi calon, kerana apa, kerana dia ada pertalian darah merah dan darah hijau dengan salah seorang ahli Dewan Harian yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS. Untuk menghalakan tindakan itu Hamid dicalit dengan sedikit kotoran. Peliknya calon yang kini menjadi wakil rakyat, jelas 'mengekok' dengan betina diambil menjadi calon? Di manakah keadilan?
Tidak mengapa kita sama-sama dengar pengumuman calon malam ini. Kita tengok dan nilai nama-nama yang diumumkan nanti apakah mereka adalah nama menjadi pilihan rakyat ataupun kerana mereka ada hubungan sulit dengan anggota Dewan Harian. Kalau sebahagian besar nama-nama yang diumum itu adalah kronis PAS akan menghadapi masalah.
Saya memberi isyarat lampu merah, sekiranya tidak berubah selepas ini saya akan menghurai satu persatu. Biarlah kita semua tahu dan tidak ditutup dengan perkataan "InsyaAllah..." Biarlah kita bermain dalam cerah kali ini dan tidak berlindung disebalik gelap. Tidak ada guna kemenangan kalau kemenangan itu bukan atas prinsip keadilan dan kebenaran.
sumber
Post a Comment