Lembaga Tabung Haji hari ini mengumumkan bonus sebanyak lapan peratus iaitu yang tertinggi dalam sejarah 50 tahun penubuhannya.
Bonus berkenaan adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012.
Agihan tersebut merangkumi bonus tahunan sebanyak 6.5 peratus dan bonus khas sempena sambutan Jubli Emas penubuhan Tabung Haji sebanyak 1.5 peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Tabung Haji membelanjakan RM2.46 bilion bagi pembayaran bonus tersebut kepada 8.2 juta pendeposit.
“Ini adalah hadiah ulang tahun terbaik bagi menghargai kesetiaan pendeposit yang sentiasa aktif menyimpan dana dengan Tabung Haji.
Malah kedudukan kewangan yang positif dan kukuh serta lebihan wang rizab yang dikumpul sejak tujuh tahun lalu turut membolehkan Tabung Haji memberi hadiah istimewa ini,” katanya ketika mengumumkan pemberian bonus Jubli Emas bagi tahun kewangan 2012 di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Paduka Ismee Ismail.
Tambah Jamil Khir, kadar bonus Tabung Haji adalah kompetitif memandangkan profil pelaburannya yang terhad kepada pelaburan berlandaskan syariah manakala tabungan pula adalah secara sukarela dan tanpa had.
Secara umumnya pembayaran bonus tahunan Tabung Haji bagi tahun kewangan 2012 adalah lebih tinggi berbanding bank komersial sama ada konvensional mahu pun perbankan Islam.
Kadar pembayaran bonus tahunan bagi akaun simpanan bank konvensional adalah 1.04 peratus dan simpanan tetap adalah 3.18 peratus.
Pembayaran bonus tahunan bagi kadar akaun simpanan perbankan Islam pula adalah 0.97 peratus dan simpanan tetap adalah 3.31 peratus.
Prestasi positif itu disumbang oleh pendapatan Tabung Haji yang melonjak 28 peratus kepada RM2.8 bilion tahun lalu berbanding RM2.2 bilion pada 2011.
Keuntungan selepas zakat dan cukai juga meningkat sebanyak 27 peratus kepada RM2.1 bilion berbanding RM1.7 bilion sebelumnya.
Ini sekali gus menghasilkan tambah nilai sebanyak RM9.2 bilion kepada dana pendeposit sejak tahun 2006.
Saiz pendeposit meningkat 17 peratus kepada 8.2 juta orang dengan dana terkumpul meningkat kepada RM35.8 bilion berbanding tahun 2011.
Pendeposit boleh menyemak bonus masing-masing di kaunter Tabung Haji dan mesin ATM rakan strategiknya bermula 10 Februari ini.
No comments:
Post a Comment