Sunday, June 10, 2012

KHAS SABAH !! PERKARA 20 ; PERJANJIAN D PUTAR BELITKAN !!



Akhbar Inggeris agen putabelit!

PADA 25 Mei lepas, saya diundang merasmikan Bengkel Cyber Troopers Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah di sebuah hotel di Kota Kinabalu. Seperti biasa, saya berucap tanpa menggunakan teks. Topik bengkel berkaitan langkah menangani cabaran dunia siber. Luas dan umum sifatnya.

Dalam ucapan selama kira-kira 30 minit itu, saya menyentuh banyak perkara. Antaranya, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing. Slogan `Sabah for Sabahan' yang dicanangkan pembangkang. Perjanjian 20 Perkara. Juga saya sentuh mengenai pembangunan.

Saya katakan, semua isu itu perlu diberi perhatian oleh generasi muda. Lebih penting, ia perlu diperjelaskan kepada rakyat. Supaya rakyat tidak keliru atau dikelirukan oleh pihak pembangkang.

Esoknya, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris mengambil isu 20 Perkara sebagai tajuk utama di muka hadapan. Terkejut juga saya bila melihatnya. Sebab seingat saya, saya cuma menyentuh hal itu secara sepintas lalu, kira-kira lima minit. Saya mendapatkan akhbar lain. Ternyata tiada satu pun tulis mengenai 20 Perkara. Akhbar lain mengambil topik politik biasa dan isu pembangunan.

Di situlah bermulanya polemik dan kontroversi. Akhbar yang sama menyiarkan reaksi dan susulan, komen dan ulasan pelbagai pihak. Semuanya menghentam saya secara peribadi.
Saya mengingati kembali ucapan saya. Saya langsung tidak menyentuh soal `kesahihan' 20 Perkara sebagaimana yang tergambar dalam laporan akhbar itu. 

Saya berucap dalam Bahasa Melayu, tetapi apabila ditulis dalam Bahasa Inggeris, ia barangkali dibuat berasaskan persepsi wartawan yang menulis, yang kemudian dirumuskan mengikut kefahaman editor ketika membuat tajuknya. Sebab itulah, tajuk yang dibuat tidak sama dengan isi yang ditulis dalam laporan tersebut.

Saya memahami kebebasan media dalam konteks sistem demokrasi. Sebab itu, saya tidak membuat penafian atau menyalahkan sesiapa. Dua hari selepas itu, saya sekadar membuat penjelasan menerusi Bernama mengenai kedudukan dokumen 20 Perkara itu, setelah membaca bermacam-macam komen negatif mengenainya, yang semuanya bersifat emosi dan peribadi.

Di dalam penjelasan itu, saya nyatakan bahawa penjelasan sebenar berhubung dokumen 20 Perkara bagi melindungi Sabah berikutan pembentukan Malaysia perlu dibuat bagi mengelak parti pembangkang memperalatkannya untuk kepentingan politik.

Soal kesahihan sebenarnya tidak berbangkit kerana pada hakikatnya, 20 Perkara itu hanya memorandum dan bukan perjanjian yang ditandatangani. Dan ada antara perkara tersebut yang telah pun dimasukkan ke dalam dokumen perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Negara.

Secara peribadi, saya menerima dan menghormati segala pandangan dan komen yang diberikan. Tapi apa yang boleh saya katakan bahawa sebahagian besar komen tersebut bersifat emosional dan peribadi, bukan bersandarkan fakta atau prinsip perundangan. Dalam isu serius seperti 20 Perkara ini, kita tidak seharusnya tenggelam dalam emosi sehingga lupa apa sebenarnya yang diungkapkan.


Saya berasa agak sedih juga sebab ulasan-ulasan yang diberikan kebelakangan ini sudah terkeluar daripada topik asal, sehinggakan ada yang meminta saya memohon maaf, malah ada yang mendesak saya meletakkan jawatan. Itu semua tidak masuk akal, dan didorong elemen politik.

Jika diamati penjelasan yang saya telah berikan bahawa soal kesahihan 20 Perkara tidak pernah berbangkit, maka komen atau ulasan hendaknya tidak berulang-ulang mengenai `kesahihan' lagi. Lebih penting, komen seharusnya lebih fokus dan mereka yang mengulas hendaklah memahami bahawa dokumen 20 Perkara itu bukannya perjanjian, cuma memorandum.

Di sini elok barangkali saya ringkaskan terjemahan saya mengenai apa yang disebut dalam dokumen 20 Perkara.Terjemahan saya ini mungkin dipersetujui ataupun tidak oleh pembaca. Ini adalah perkara biasa dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan kebebasan memberi pandangan sesuai dengan sistem demokrasi. Saya hormati sebarang terjemahan dan mungkin kita boleh "bersetuju untuk tidak bersetuju."

Pada saya secara umum, 20 Perkara merupakan memorandum yang dibentangkan oleh pakatan parti-parti politik utama Sabah kepada Jawatankuasa Antara Kerajaan (Inter-Governmental Committee) yang telah ditubuhkan untuk mengenal pasti dan merangka draf Perlembagaan baru untuk Persekutuan Malaysia yang baru dengan mengambil kira perlindungan dan kedudukan khas Sabah dan Sarawak.

Memorandum 20 Perkara ini merupakan perlindungan perlembagaan yang paling minima yang Pakatan parti-parti politik Sabah mahukan. Wakil-wakil Sarawak juga telah bentangkan Perkara 18 mereka untuk tujuan yang sama.

Saya mendapati Jawatankuasa IGC sudah menggabungkan atau memasukkan perlindungan-perlindungan Perkara 20 dan 18 ini bila mereka membuat pindaan-pindaan relevan terhadap Perlembagaan Malaya ketika itu. Semua pindaan-pindaan perlembagaan ini boleh dilihat di dalam Bab 3 Laporan Jawatankuasa IGC ini.

Dari sisi undang-undang, saya rasakan Perkara 20 sebagai memorandum perkara-perkara minima untuk perlindungan khas Sabah di dalam Perlembagaan bukanlah dokumen undang-undang yang boleh mengikat atau berkuasa. Ianya cuma relevan untuk menjadi bahan rujukan apabila Mahkamah tidak boleh menafsirkan Perlembagaan Malaysia ataupun Perjanjian Malaysia secara tepat.

Artikel 8 dalam Perjanjian Malaysia pula teramat penting kerana ia mewajibkan Kerajaan Malaya, Sabah dan Sarawak untuk mengambil langkah-langkah perundangan ataupun eksekutif untuk merealisasikan pengesyoran Bab 3 Laporan IGC (Lampiran A dan B) sekiranya ia tidak dilindungi atau didapati dalam Perlembagaan Malaysia.

Oleh itu, sekiranya salah satu Perkara 20 tidak diambil kira oleh Jawatankuasa IGC dan tidak tertulis di dalam pengesyoran Bab 3 Laporan IGC, maka Perkara 20 tidak lagi relevan ke tahap itu. Hak-hak yang termaktub di dalam Perkara 20 bergantung kepada Laporan IGC yang menjadi sumber asas untuk Perjanjian Malaysia dan seterusnya Perlembagaan Malaysia.

Sebagai contoh, salah satu Perkara 20 yang tidak direkodkan ke dalam Laporan IGC merupakan Perkara No. 3 yang mengharuskan setiap pindaan terhadap Perlembagaan Sabah perlu mendapat persetujuan rakyat (melalui referendum). Namun ini tidak dilihat di dalam Laporan IGC. Maka dengan itu, Perkara 3 ini tidak lagi relevan untuk masa sekarang.

Kita seharusnya mengkaji Bab 3 dari Laporan IGC untuk mengenal pasti pengesyoran mana yang belum lagi dikuatkuasakan untuk melindungi hak dan kedudukan Sabah dalam Malaysia. Dan bukannya menguatkuasakan Perkara 20 kerana ia bukannya dokumen undang-undang yang relevan untuk masa kini.-8/6/2012 

- OLEH SALLEH SAID KERUAK,TIMBALAN PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO SABAH DAN SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH

BACA SELANJUTNYA D SANGGAH TOK JANGGUT

No comments:

Post a Comment