KUALA LUMPUR, 20 Jun – Tidak mustahil jika nama Yayasan Selangor hanya akan tinggal sejarah kalau yayasan terus dibelenggui dengan pelbagai masalah termasuk dakwaan lebih RM80 juta milik yayasan tersebut lesap tanpa sebarang penjelasan.
Lebih menghairankan kerana Yayasan Selangor kini menanggung hutang dalam tempoh tiga tahun pakatan pembangkang memerintah negeri ini.
Timbalan Ketua UMNO bahagian Serdang, Mejar (B) Abd Rahim Mohd Amin berkata, Yayasan Selangor kini sudah tidak lagi boleh dijadikan tempat bergantung harap, ini semua berpunca daripada pengurusan yang tidak betul.
Tegas beliau tidak sampai sepenggal memerintah Selangor, banyak masalah yang timbul sehingga duit sebanyak RM80 juta milik Yayasan Selangor boleh lesap begitu sahaja.
“Kerajaan negeri dan PKR Selangor harus berterus-terang, jangan sembunyikan ke mana duit sebanyak tu boleh hilang. Jika sebelum ini mereka tawarkan kerajaan Selangor yang bersih, telus dan berkredibiliti, apa yang dikatakan ini lebih buruk dari apa yang mereka fitnah kerajaan BN yang terdahulu.
“Mana perginya Selcat? Mula-mula sahajalah Selcat berfungsi, kemudian apabila penyelewengan demi penyelewengan berlaku, Selcat terus menyepi,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini.
Tambahnya, adalah satu kerugian yang besar buat rakyat di negeri ini apabila Yayasan Selangor yang asalnya ditubuhkan adalah untuk membantu rakyat Selangor yang berpendapatan rendah atau mempunyai masalah terutama membabitkan pendidikan.
“Bayangkan jika mereka hadapi masalah kewangan, bagaimana mereka hendak menjalankan aktiviti dan siapa yang rugi, sudah pasti rakyat Selangor.
“Masalah yang dihadapi Yayasan Selangor antara bukti menunjukkan kegagalan mereka (pakatan pembangkang) dalam mentadbir urus negeri sehingga menjadi yayasan berkenaan kemungkinan bankrap jika tiada tindakan segera,” katanya. -
MediaUMNO
Post a Comment