Jurucakap polis berkata bagaimanapun polis tidak dapat mengesahkan sama ada Rohaizad, 43, yang beralamat di Sungai Dua, Gelugor di sini, adalah mangsa yang masih tersepit di dalam kenderaan itu.
"Kita meminta kerjasama semua pihak yang mengenali pemilik kenderaan itu untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti mangsa," katanya.
Mangsa bagaimanapun belum dapat dikeluarkan lagi dari kereta itu dan kerja mengalih sisa tanjakan konkrit yang telah dipotong itu sedang giat dijalankan.
Semalam, runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung itu menghempap sebuah kereta dan seorang mangsa dipercayai terperangkap di dalam runtuhan itu.
Dalam kejadian itu, dua bahagian konkrit iaitu 180 ton konkrit keras dan 100 ton konkrit lembut runtuh secara tiba-tiba dan menghempap sebuah kenderaan.
Tiga orang iaitu dua pekerja asing dan seorang wanita tempatan cedera dalam kejadian itu.
Sementara itu, kerja mengangkat sisa runtuhan tanjakan konkrit yang dipotong sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat di kawasan kejadian.
Jurucakap bomba berkata runtuhan tanjakan konkrit dan besi itu terpaksa dipotong lebih kecil bagi memudahkan kerja mengalih dan mengangkut dilakukan.
Katanya setelah runtuhan tanjakan itu dialih, barulah bomba dapat mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta akibat dihempap tanjakan konkrit itu.
Beliau berkata lebih 300 anggota pasukan yang terdiri daripada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, pekerja syarikat pembinaan dan kontraktor sedang bertungkus-lumus mengalihkan runtuhan konkrit dan besi seberat beratus-ratus tan itu.
sumber
No comments:
Post a Comment