Sunday, June 16, 2013

“Kawan Mas” Dikesan 350 Meter Dari Giam Bungan

"Kawan Mas" Dikesan 350 Meter Dari Giam Bungan


BELAGA – Bot ekspres “Kawan Mas” kini dikesan terdampar di atas batu pada kedalaman lebih kurang 18 meter di Sungai Rajang, kira-kira 350 meter dari Giam Bungan, tempat ia mula tenggelam pada 28 Mei.

Ketua polis daerah Belaga, Deputi Superintendan Bakar Sebau berkata, penyelam skuba dari Therra Horizon Sdn Bhd, anak syarikat Petronas yang diberi tanggungjawab meneruskan Operasi Mencari dan Menyelamat, mengesan bot itu pada kira-kira jam 5.45 petang semalam.

Katanya, syarikat itu kini menunggu ketibaan tiga penyelam lagi, seorang jurutera laut dan semua kelengkapan yang diperlukan untuk mengapungkan bot berkenaan.

“Saya dimaklumkan bahawa kelengkapan mereka akan tiba di sini menjelang Selasa bagi membolehkan mereka memulakan kerja mengapungkan bot itu pada hari berikutnya.

“Kini, orang saya, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, RELA dan Jabatan Pertahanan Awam akan meneruskan usaha mencari di permukaan,” kata Bakar, yang mengetuai operasi itu.

Ketika ditemui BERNAMA, penasihat teknikal Therra Horizon, Kapten Khairul Azeman Mokhtar, berkata operasi mengapungkan bot berkenaan adalah proses berat dan rumit.

“Kami perlu melakukannya dengan amat berhati-hati. Kami tak mahu bot berkenaan pecah dalam proses ini. Perkara ini boleh terjadi akibat tekanan air.

“Kami juga meminta jurutera laut kami dari Kuala Lumpur datang untuk menyelia dan mengawasi seluruh operasi ini,” katanya.

Kapten Khairul berkata, pihaknya memerlukan sehari suntuk untuk memasang sistem pengapungan pada bot berkenaan.

“Selepas itu, kami perlu mengikat empat pelampung seberat lima tan setiap satu, sebelum mengepam udara kedalamannya,” katanya.

Kapten Khairul berkata, kerja mengepam udara itu perlu dilakukan secara perlahan-lahan dan beliau menjangka bot berkenaan akan dapat diapungkan dalam masa dua hari.

“Kami harap dapat berbuat demikian apabila Empangan Hidro Bakun melepaskan airnya ke dalam Sungai Rajang supaya kami mempunyai paras air lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, operasi mengapungkan bot itu adalah yang pertama seumpamanya di Sarawak dan ketiga di Malaysia setakat ini.

“Kawan Mas” membawa lebih 200 penumpang ketika ia karam di Giam Bungan, antara jeram paling berbahaya di bahagian hulu Sungai Rajang, selepas melanggar sebatang balak dan mengalami masalah enjin.

Kira-kira 213 penumpang terselamat, dua yang dikenali sebagai Roslin Jati, 34, dan Maurice Ajan, 22, masih hilang, manakala seorang disahkan meninggal dunia.

Sebahagian besar penumpangnya terdiri daripada pekerja yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut perayaan Gawai Dayak pada 1 Jun. Bot ini hanya dilesenkan membawa 64 penumpang. – BERNAMA



mynewhub



No comments:

Post a Comment