KEMAMAN – “Sejak tiga tahun lalu, penyakit anak perempuan saya makin teruk, dia mula rimas pakai baju dan berbogel sepanjang masa,” keluh Nafisah Muda, 55, yang berdepan ujian bertimpa dalam keluarganya.
Nafisah berkata, bukan sahaja anak keempatnya menghidap penyakit misteri, malah suaminya juga perlu diberi perhatian kerana kaki kanan terpaksa dipotong akibat kencing manis.
Menurutnya, keadaan anaknya, Nurhaliza Mohamad, 29, atau mesra dipanggil Mek Yah yang berbogel menyebabkan dia terpaksa dikurung dalam sebuah bilik bagi mengelakkan keluar dari rumah dalam keadaan begitu.
“Mek Yah mulai sakit selepas berhenti kerja beberapa bulan setelah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ketika itu sikapnya mula bertukar murung, suka termenung dan menangis secara tiba-tiba tanpa mengira masa.
“Dari sebulan ke sebulan, dia bertukar agresif dan seperti ada ‘kuasa’ kerana kekuatannya sangat luar biasa. Dia baling barang dalam rumah, tendang pintu dan ada ketikanya dia berjoget serta bercakap dengan dinding.
“Mula-mula sakit dia pakai baju sama seminggu dan tak nak tukar tapi sejak tiga tahun lalu, dia tak mahu pakai pakaian. Bila dipakaikan baju, dia koyakkan dan tanggalkan,” katanya sebak ketika dikunjungi Sinar Harian di rumahnya di Kampung Semai Bakti, Felda Kerteh 6, dekat sini.
Sejak sakit, Nafisah sekeluarga membawa anaknya berjumpa pengamal perubatan tradisional dan kebanyakan mereka memberitahu anaknya itu diganggu makhluk halus.
“Ada juga bomoh mengatakan Mek Yah yang ada bersama kami sekarang hanya tinggal jasad, manakala jiwa dan rohnya berada di tempat lain.
“Dalam tempoh 12 tahun sejak dia sakit, bermacam-macam bomoh dan pengamal perubatan Islam yang kami temui termasuk Ustaz Harun Din sebagai ikhtiar tapi semuanya tak berhasil. Kami juga bawa anak ke hospital dan doktor kata anak sakit mental,” katanya.
Anak makan mencangkung
Penyakit misteri yang dihidapi anaknya itu semakin teruk apabila mula keluar dari rumah dalam keadaan berbogel pada waktu Maghrib tahun lalu.
Katanya, salah seorang rakan anaknya nampak Mek Yah berjalan berdekatan sebuah kedai kira-kira satu kilometer dari rumah mereka lalu suaminya segera membawa anak mereka pulang semula.
“Sebelum ini bilik tidurnya tidak berkunci tapi selepas kejadian itu, kami buat bilik khas untuknya dan terpaksa mengurungnya bagi mengelakkannya keluar rumah. Sebagai ibu, luluh hati saya bila terpaksa buat begini. Bahkan ada juga yang mengata kami disebabkan kurung anak tapi ini bukan dengan kerelaan kami,” katanya sambil mengalirkan air mata.
Dengar benda jatuh
Ketika permulaan Mek Yah sakit, salah seorang anak Nafisah ada mendengar benda jatuh dan berjalan atas bumbung rumah mereka serta sempat melihat benda itu seakan-akan seekor beruk dengan mata merah menyala.
Kata ibu lapan anak ini yang juga bekerja sebagai tukang urut, sejak sakit, Mek Yah juga makan seperti gaya beruk atau mawas dan sejak tiga tahun lalu juga setiap kali buang air besar anaknya itu memijak-mijak najisnya sendiri.
“Saya juga pelik kerana walaupun sudah basuh bilik anak dengan sabun, namun bau busuk dan hanyir dalam biliknya anak tetap tidak hilang.
“Dalam keadaan begini, dua anak lelaki saya banyak bantu bila Mek Yah agresif kerana pergerakan suami sudah terbatas sejak potong kaki setahun lebih yang lalu,” katanya.
Kaki suami keluar nanah
Sementara itu, suami Nafisah, Mohamad Embong, 59, berkata, kaki kanannya mula sakit pada akhir 2011 apabila celah ibu jari kaki kanannya bernanah dan kemudiannya pecah.
“Lepas nanah pecah, darah keluar daripada luka nanah berkenaan setiap kali saya bergerak menyebabkan saya tidak boleh banyak bergerak. Darah yang keluar sangat banyak dalam kalau isi dalam plastik, boleh separuh penuh plastik.
“Lama-kelamaan bawah tapak kaki saya pula timbul banyak gelembung dan pecah hingga saya tidak dapat tidur malam sebab sakitnya tak terkata. Selepas itu saya pergi ke klinik dan doktor mengesahkan ada jangkitan kuman lalu dihantar pula ke Hospital Dungun dan selepas enam hari berada di sana doktor potong separuh tapak kaki kanan saya,” katanya.
Menurutnya yang juga peneroka, dalam tempoh tidak sampai seminggu kemudian, tapak kakinya bertukar hitam menyebabkan minggu seterusnya doktor terpaksa memotong kakinya pada paras betis bagi mengelakkan kuman merebak pada 29 Januari tahun lepas.
Katanya, selepas dipotong kaki, pergerakannya terbatas dan hanya boleh berjalan di dalam rumah dan sekeliling rumah dengan bertongkat.
“Dalam keadaan penyakit anak makin serius dan saya perlu menjaganya, saya mohon bantuan kaki palsu dengan pelbagai pihak sejak Disember tahun lalu tapi sampai sekarang masih belum mendapat apa-apa jawapan.
“Diharap permohonan kaki palsu saya ini dapat segera diluluskan memandangkan keadaan saya yang amat memerlukannya,” rayunya.
Sementara itu, penderitaan yang dihadapi keluarga Mohamad mendapat perhatian Adun Kemasik yang juga Exco Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Ir Rosli Othman.
Beliau menziarahi keluarga terbabit bersama rombongan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Semai Bakti diketuai pengerusinya, Anuar Husain dan menyampaikan sedikit sumbangan.
Malah, Ir Rosli juga berjanji untuk membantu Mohamad mendapatkan kaki palsu bagi memudahkan pergerakannya.
Dalam pada itu, Nafisah dan Mohamad sekeluarga juga merayu sesiapa yang pandai mengubat penyakit misteri untuk tampil membantu merawat penyakit anak mereka.
Mereka juga memerlukan bantuan kewangan bagi menampung perbelanjaan membeli sabun dan untuk rawatan anak mereka.
Sumbangan boleh disalurkan ke dalam akaun Maybank Mohamad Embong yang bernombor 163082032983 atau boleh menghubungi mereka menerusi talian 019-9703990. – mynewshub
No comments:
Post a Comment