Terbaru di Gua Musang, sekumpulan lebih 300 orang rakyat marhaen dari Kampung Sungai Badong, Kuala Betis bangkit memprotes tindakan Kerajaan PAS Kelantan merampas tanah yang diusahakan mereka sejak berpuluh tahun lalu untuk diberikan kepada syarikat swasta.
Sukar untuk mereka terima hakikat bagaimana mungkin tanah seluas 378.8 hektar yang telah mereka usahakan sekian lama dengan tanaman getah, kelapa sawit dan lain-lain tanaman tiba-tiba sahaja bertukar hak milik sejak 5 bulan lalu.
Segala wang ringgit berupa duit deposit, cukai dan premium tanah yang saban tahun dilangsaikan kepada Pejabat Tanah bagaikan menjadi debu, sia-sia sebegitu sahaja tanpa sebarang makna.
Apa yang berlaku pada mereka hanyalah secebis kisah daripada pelbagai kes penindasan lain yang sedang dan telah dilakukan oleh Kerajaan PAS Kelantan. Penindasan dan kezaliman sebegini memperlihatkan PAS bagaikan alat kapitalis yang menindas rakyat miskin untuk menjaga kepentingan orang lain.
Dulu sewaktu PAS memerintah pada dekad 1960-an hingga pertengahan 1970-an, rakyat Kelantan pernah menangis keluar air mata darah bila mana kehilangan hak ke atas lebih 300,000 ekar tanah di Hulu Kelantan selepas tanah itu dipajakkan kepada syarikat dari Singapura.
Adakah pajakan tanah seluas mata memandang itu menguntungkan rakyat atau negeri? Tidak sama sekali, sebaliknya hanya menguntungkan golongan kapitalis dan segelintir pemimpin parti, manakala rakyat hanya mampu memandang sayu melihat tanah yang dipijak telah menjadi milik orang.
Tidak cukup dengan sejarah hitam itu, kini melalui idea projek Ladang Rakyat yang kononnya bertujuan untuk membasmi masalah kemiskinan, lebih 80,000 ekar tanah lagi dipajakkan yang hasilnya hanya sedikit untuk kantung Kerajaan Negeri manakala rakyat marhaen pula hanya melopong termangu sendirian.
Hak milik pajakan tanah yang serba luas dari Kuala Krai, Gua Musang hingga ke Jeli itu berserta hasil kekayaan kayu kayannya tetap juga hanya berlegar di kalangan segelintir pihak terutama mengenyangkan tauke-tauke balak yang merupakan kroni yang rapat dengan PAS.
Lebih menyakitkan hati kebanyakan pemimpin PAS di Kelantan termasuklah anak pinak mereka yang tiada kaitan dengan Ladang Rakyat pun boleh juga memiliki tanah di sekitar kawasan itu. Sedangkan rakyat yang bersengkang mata mengusahakan tanah demi mencari sesuap nasi dinafikan haknya.
Malah orang luar seperti pemimpin DAP bersaudara dari Perak, iaitu Ngeh Koh Ham dan Nga Kor Min juga sebegitu mudah memiliki hak milik tanah yang keluasannya mencecah 10,000 ekar hampir sebesar Putrajaya dengan pajakan sehingga tahun 2092, melalui pengambilan sebuah syarikat swasta.
Rakyat negeri sendiri termasuk golongan miskin yang sudah berpuluh tahun meneroka tanah membanting tulang demi mencari nafkah untuk keluarga, terkebil-kebil melihat tanah sendiri kini menjadi milik orang.
Apabila di sana sini rakyat bangkit memperjuangkan hak mereka dan mempertikaikan kenapa tanah milik mereka jatuh ke tangan lain, pemimpin PAS Kelantan lebih banyak bersilat lidah tanpa berusaha mengenal pasti punca berlakunya penindasan sebegini.
Pemimpin PAS merasakan kepentingan golongan kapitalis jauh lebih utama berbanding rintihan rakyat marhaen yang tertindas hanya mampu memprotes dan membantah.
Namun tanah itu maruah, bila mana ia dirampas atau dipindah milik tanpa pengetahuan mereka, siapa yang tidak marah? Amarah yang sekian lama membebani hati nurani rakyat tiba saatnya pasti meletup jua, tika itu agaknya baru PAS mahu sedar tinggi rendah langit dari bumi.
No comments:
Post a Comment