Saturday, November 24, 2012

SALURAN TV UNTUK WANITA : FEMINA CHANNEL !!


SEJARAH terlakar lagi hari ini apabila Femina Channel- Saluran Televisyen Wanita yang pertama di Malaysia dilancarkan secara rasminya, sekaligus menjadi pengiktirafan penting terhadap sumbangan besar kaum wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara selama ini.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata saluran baru yang diterbitkan oleh Panomax (M) Sdn Bhd itu juga berupaya memperkasakan lagi peranan dan pencapaian wanita di Malaysia selain membantu dalam menterjemahkan nilai budaya tempatan khususnya di kalangan remaja wanita.
Beliau menegaskan, peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negara terserlah sejak negara mencapai kemerdekaan lagi apabila ramai tokoh wanita yang terulung turut membantu memperkasa dan membangunkan negara tercinta ini.
“Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kaum wanita banyak berjasa kepada negara dan kita lihat hari ini pencapaian mereka berada di tahap yang membanggakan.
“Dengan peningkatan peluang pendidikan dan pekerjaan di kalangan masyarakat, kaum wanita semakin bergerak progresif dan berupaya memberi sumbangan aktif kepada pembangunan negara,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Femina Channel- Saluran TV Wanita Malaysia, hari ini.
Tambah Isteri Perdana Menteri lagi, kerajaan sentiasa memberi sokongan dan mengambil berat mengenai kepentingan wanita di negara ini.
“Kaum wanita diberi dengan pelbagai keistimewaan dan kekuatan tersendiri untuk memastikan keharmonian dan komuniti terpelihara.
“Golongan ini juga dapat menjalankan tugas dan berganding bahu untuk merealisasikan hasrat kerajaan mencapai status negara maju kerana peranan wanita sekadar untuk menjaga keluarga semata-mata,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, sudah tiba masanya untuk satu saluran televisyen khas untuk wanita diperkenalkan di negara ini memandangkan ia merupakan medium utama di sesebuah negara bagi menyampaikan maklumat secara berkesan dan berpengaruh.
“Sesebuah saluran televeisyen itu berupaya mempengaruhi cara seseorang itu berfikir kerana mereka menghabiskan beberapa jam dengan menonton televisyen yang akhirnya akan mencorak identiti budaya.
“Harus diingat, kegagalan nilai luhur dalam siaran televisyen akan menyebabkan kegagalan cara berfikir dan sahsiah masyarakat yang baik,” tegasnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Femina Channel kata DS Rosmah, boleh menjadi landasan atau platform untuk menyalurkan info atau maklumat berfaedah dengan menyiarkan program yang berunsur pendidikan dan keluarga.
Selain itu, kefahaman wanita juga perlu dipertingkatkan dari segala ancaman dan menyediakan bantuan kepada wanita untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam pelbagai bidang, katanya.
“Pengisian program di sesuatu saluran televisyen harus memeuhi citarasa tempatan tanpa membelakangkan budaya luhur yang mengandungi nilai masyarakat.
“Bagi mengelak kemudaratan, maka hala tuju sesuatu program perlu dipantau dari semasa ke semasa,” tegas DS Rosmah lagi.
Jelasnya, apa yang bakal disajikan kepada penonton kelak tidak hanya untuk hiburan semata-mata sebaliknya turut mendidik masyarakat dalam aspek kehidupan dan kekeluargaan.
“Memandangkan Femina Channel ini baru dilancarkan, maka program yang akan diterbitkan kelak perlu diadun dengan kreatif dan inovatif agar mesej dapat disampaikan kepada penonton yang dewasa ini semakin matang dalam membuat perbandingan baik dengan saluran televisyen lain baik di peringkat tempatan atau antarabangsa.
“Oleh itu, kecanggihan teknologi dan pemikiran kreatif amat penting dan saya berharap saluran ini dapat menyahut cabaran itu dengan jayanya, sekaligus mencapai kejayaan seperti yang diharapkan,” tambahnya.
Untuk galeri foto – KLIK SINI

SUMBER

No comments:

Post a Comment