KOTA BAHARU 8 Sept. - Kira-kira 300 penduduk di Seksyen 10, Lorong Gajah Mati di sini mengadakan protes hari ini bagi membantah pengambilan balik tanah mereka oleh kerajaan Kelantan yang didakwa tidak mengikut prosedur.
Wakil mereka, Rahimi Mohammad berkata, penduduk di situ tidak membantah cadangan projek pembangunan pinggir Sungai Kelantan tersebut, namun mempersoalkan proses pengambilan balik tanah yang dilihat tergesa-gesa.
Sepatutnya penduduk diberikan notis rasmi memberitahu kerajaan akan mengambil balik tanah yang didiami mereka sebelum diserahkan Borang E, namun sekarang kami hanya diberi Borang E tanpa notis rasmi, katanya kepada pemberita, di sini.
"Ini menunjukkan ketidaktelusan yang dilakukan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Baharu kepada pemilik-pemilik tanah yang sah dan berdaftar di Jalan Gajah Mati dan Jalan Sultanah Zainab ini,” kata Rahimi.
Beliau juga mendakwa penduduk di situ hanya mendengar desas-desus kerajaan negeri pimpinan Pas itu akan mengambil semula tanah tersebut sebelum menerima Borang E terbabit.
"Pemilik-pemilik tanah terlibat dengan cadangan itu ingin memohon pihak berkenaan melakukan siasatan ke atas Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Baharu, Majlis Perbandaran Kota Baharu dan Syarikat
K.D.Howa Seng yang dikatakan tidak mematuhi prosedur pengambilan Akta Tanah 1960 itu,” katanya.
- Bernama
Post a Comment